Bandar bukan ada orang kaya saja, susah juga ada

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bandar bukan hanya dihuni orang kaya, tetapi terdapat juga golongan susah yang merupakan rakyat negara ini dan mereka tidak sepatutnya disusahkan dalam usaha pembangunan mahu dilaksanakan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Maran, Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, sehubungan itu Perikatan Nasional (PN) mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas bagi memastikan Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar dapat diterima semua pihak.

Iaitu kemukanya, melibatkan kerajaan, pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO), serta pemegang taruh lain bagi memastikan kebajikan rakyat terbela tanpa mengira lokasi mereka.

“Terutamanya di kawasan bandar ini. Jadi, jika kita dapat membahaskannya terlebih dahulu, kita boleh memastikan cadangan pembentangan rang undang-undang Pembaharuan Bandar ini diterima oleh semua pihak.

“Kita tidak mahu ia merugikan mana-mana pihak, terutama rakyat kita sendiri. Di bandar, bukan hanya orang kaya sahaja, tetapi juga golongan yang susah.

“Mereka juga sebahagian daripada masyarakat yang melengkapkan kehidupan di kawasan bandar,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau turut mencadangkan agar cadangan pembangunan bandar diperluaskan ke kawasan pinggir bandar yang masih terbiar dengan syarat kepentingan rakyat tidak diabaikan.

Menurutnya, penubuhan jawatankuasa khas ini penting bagi mendapatkan konsensus yang baik dan harmoni dalam usaha melahirkan masyarakat bersatu tanpa mengira kaum.

“Kita mahu bandar menjadi lebih tenang, damai, tenteram, dan akhirnya membentuk sebuah negara yang sejahtera serta harmoni.

“Maka, kerajaan perlu mempertimbangkan undang-undang bukan hanya berdasarkan kepentingan sendiri, tetapi juga untuk rakyat,” ujarnya.

Tambahnya, pembangkang bukan sekadar mahu menentang, tetapi turut memberikan pandangan yang membina demi kepentingan rakyat, bangsa, agama, dan negara. – HARAKAHDAILY 25/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!