KOTA BHARU: Pertandingan hiasan pulut hijau dan putih menjadi aktiviti utama sempena Hari Terbuka Aidilfitri PAS Negeri Kelantan yang akan diadakan pada Khamis, 10 April ini.
Setiausaha PAS Kelantan, Dato’ Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata lagi, pihaknya turut mengadakan pertandingan gerai cantik serta cabaran teh tarik anak muda.
Beliau berkata acara tahunan itu disertai oleh semua PAS Kawasan di negeri itu termasuk sayap utama parti seperti Pemuda, Ulamak, Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).
“Kita mengadakan pertandingan untuk memeriahkan lagi sambutan, pulut hijau campu pulut putih, kalau hijau sahaja tidak nampak, pulut hendaklah disediakan di sini pulut yang siap di tanak.
“Kita sediakan di sini cuma wakil PAS Kawasan boleh bawa mereka yang mahir dalam pembuatan pulut ini di sini untuk kita hias dan kita ambil markah bermula pada 9 April malam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat program Rumah Terbuka PAS Kelantan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.
Hadir sama Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah dan mantan Speaker DUN, Dato’ Abdullah Yaakob serta Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Dato Abdul Rahman Yunus.
Wan Roslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor menjelaskan, pihaknya mensasarkan kehadiran lebih 50,000 pengunjung pada majlis bertemakan ‘Kelantan Model Perpaduan’.
“PAS Kelantan akan mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri pada 11 Syawal bersamaan 10 April 2025 di Dataran Warisan perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV di Kota Bharu.
“Jadi saya bagi pihak Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan menjemput semua rakyat Kelantan hadir, pada tahun ini kita mensasarkan 50,000 pengunjung dan tema ‘Kelantan Model Perpaduan’,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!