Laporan kewangan TH dibentang minggu depan

SHAH ALAM: Laporan Kewangan Tabung Haji (TH) bagi tahun 2018 dan 2019 dijangka akan dibentangkan sebelum berakhirnya sesi mesyuarat kedua sidang Parlimen, pada 27 Ogos ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata Kementerian Kewangan sedang dalam proses akhir semakan semula laporan kewangan berkenaan sebelum dibawa ke mesyuarat kabinet dan dibentangkan di Parlimen.

Advertisement

Insya-Allah sebelum sidang Parlimen kali ini berakhir,  laporan itu akan dibentangkan, jika tiada aral melintang,” katanya ketika diminta mengulas mengenai gesaan Pemuda PAN yang mahu agar laporan kewangan berkenaan dibentangkan di Parlimen.

Zulkifli berkata demikian dalam sidang akhbar pada majlis pelancaran muafakat NGO Islam di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Pemuda PAN mencabar Menteri yang bertanggungjawab bagi portfolio agama itu membentangkan laporan kewangan TH bagi tahun 2018 dan 2019 di Parlimen.
 
Mengulas mengenai perkembangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi TH, Zulkifli berkata perkara berkenaan bergantung kepada pertimbangan Kementerian Kewangan.

Menurut beliau, Kementerian Kewangan perlu memperhalusi pelbagai isu sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan penubuhan RCI berkenaan.

Pada 17 Ogos lepas, media melaporkan bahawa cadangan penubuhan RCI TH dijangka dibawa ke mesyuarat Kabinet minggu ini.

Menurut Zulkifli, selain perbincangan khusus dengan Perdana Menteri pada 12 Ogos lepas, perbincangan dari semasa ke semasa berhubung perkara itu juga akan diteruskan dengan laporan akan dikemukakan oleh Menteri Kewangan. – BERNAMA