PGA PDRM perketat kawalan sempadan Kelantan-Thailand

- Advertisement -

KOTA BHARU: Polis Kelantan memperketatkan kawalan sempadan berikutan jangkaan berlaku aktiviti rentas sempadan secara haram menjelang sambutan Aidilfitri ini.

- Advertisement -

Sehubungan itu, Pasukan Gerakan Am (PGA) diarah memperketatkan operasi di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand bagi menghalang warga Thailand yang ingin pulang ke kampung halaman mereka daripada menggunakan laluan tidak sah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, arahan itu dikeluarkan selepas polis mengesan peningkatan mendadak rakyat Thailand yang keluar dari negara ini melalui tiga pintu masuk rasmi di Kelantan sejak dua hari lepas.

“Saya dimaklumkan bilangan rakyat Thailand yang pulang ke negara mereka dalam dua hari terakhir ini mencecah hampir 10,000 orang sehari.

“Kesemua mereka menggunakan tiga Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga,” katanya kepada media, di sini semalam.

Terdahulu beliau menyantuni petugas Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di persimpangan lampu isyarat Jalan Wakaf Siku, di sini petang semalam.

Tambah beliau, walaupun majoritinya mematuhi prosedur rasmi, namun pasti masih ada yang cuba menggunakan laluan haram.

Beliau memberitahu, polis turut memantau pergerakan rakyat Thailand yang pulang ke kampung halaman mereka bagi memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku.

“Anggota PGA yang bertugas di ICQS telah diarahkan untuk memantau pergerakan mereka dengan lebih teliti, termasuk memerhatikan jeti haram yang sering menjadi laluan pilihan bagi mereka yang cuba merentas sempadan secara tidak sah,” katanya.

Tambah Mohd Yusoff lagi, semua jeti atau pangkalan haram ini akan dipantau rapi, dan mana-mana pihak yang ingkar akan ditahan.

“Arahan ini telah dikeluarkan sejak 1 Dis tahun lepas dan semua pihak perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!