Siapa yang paling terpercaya?

- Advertisement -

MANTAN Presiden Umno, yang sekarang ini Pengerusi Bersatu, Tun Mahathir pernah disuruh dibicarakan di mahkamah atau ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja atas skandal Forex, Memali, dengan penuh keyakinan mereka kata Tun lah pelakunya. Menunjukkan betapa seriusnya kes yang telah dilakukannya.

DS Najib bekas Presiden Umno, sekarang sedang dibicarakan di mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa. Isu yang paling utama ialah berkenaan 1MDB yang dikatakan wang rakyat telah diselewengkan oleh beliau. Beliau telah didapati bersalah oleh mahkamah awam media sosial.

DS Zahid Hamidi, Presiden Umno sekarang ini juga sedang menghadapi pertuduhan rasuah dengan didedahkan jumlah rasuah yang beliau terima ialah kira-kira RM42 juta atas 33 pertuduhan ketika menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga pernah ditangkap, disiasat dan didakwa atas pertuduhan rasuah bagi kes pembelian sebuah rumah. Kes itu disahkan sama dengan kes Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor, yang mana, Khir dijatuhkan hukuman, walaupun ketika itu beliau adalah orang besar Umno. LGE bagaimanapun dibebaskan dari pertuduhan, sekali gus mengejutkan SPRM.

Anwar, mantan Timbalan Presiden Umno dan Presiden PKR sekarang, pernah disabitkan kesalahan meliwat, salah guna kuasa oleh kerajaan ketika itu. Dia dipenjarakan beberapa tahun dan pernah diampunkan dari kesalahannya oleh YDPA. Dia bukannya dibebaskan dari tuduhan dengan penghakiman semula. Sekarang, mungkin akan dipanggil sekali lagi bagi siasatan terhadap laporan pembantunya.

Manakala Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, tidak pernah dituduh bagi mana-mana salahguna kuasa sebagai pegawai kerajaan, ketika berkuasa, apatah lagi didapati bersalah. Sama juga dengan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Hanya satu cubaan untuk memalukan Presiden PAS dengan kes saman oleh orang PKR, yang kemudian dibicarakan, dan plaintif kalah dengan kos.

Kesemua kes ini merujuk kepada empat parti politik terbesar dan yang sudah lama bertapak di Malaysia. Ada juga parti politik kecil yang kemudiannya telah ditangkap beberapa orang kuat mereka dalam beberapa kes penyelewengan bagi siasatan. Jumlah keahlian pun menipu. Kecil-kecil lagi dah buat perangai, nanti besar entah macam mana agaknya.

Maka sebagai rakyat yang berfikiran waras, kita dapat mengagak bagaimana siapa yang paling beramanah dan dari parti mana. Tidak gila mengejar kuasa dan juga harta. Kedua-duanya melepaskan jawatan MB mereka ketika masih hidup, memberi peluang kepada penggantinya. Lihat rumah kedua-dua pimpinan PAS itu. Lihat juga cara pemakaian mereka.

Tidak perlu menggunakan nama almarhum TGNA sebagai syafaat politik kerana setelah meninggalnya almarhum, beliau memberikan sokongan penuh kepada Presiden PAS. Mereka tidak terliur dengan tawaran dan janji-janji ke Putrajaya kerana terpaksa meletakkan agama di tepi atau terpaksa menjadi khadam kepada sesiapa.

Dan kita lihat bagaimana kehinaan sekarang terjadi kepada penunggu jawatan PM. Masing-masing dengan kes yang telah saya sebutkan di atas. Pemberi janji dan pengemis janji, kedua mereka tidak boleh dipercayai. Dan mereka keduanya tahu, mereka tidak mempercayai sesama sendiri. Gini-gini kata penagih janji. Maka ianya bukan mengenai keikhlasan hati, tetapi kebijakan masing-masing membelit .

Dulu, apabila PAS didakwa ditipu kerana menanti kelulusan RUU355, mereka mengutuk PAS kerana diperbodohkan Umno, kata mereka PAS bodoh mempercayai Umno. Ia mengambil masa lebih kurang dua tahun daripada waktu ia dibentangkan April 2017 sebelum ia tidak dapat diluluskan kerana kekalahan BN dalam PRU14. Tetapi penunggu jawatan PM ini pula telah menunggu selama 21 tahun bagi jawatan PM setelah dipecat.

Ironinya dia masih mengharap kepada orang yang sama untuk diberikan jawatan PM itu setelah diperbodohkan, dihina dan diseksa sebegitu rupa. Sekarang, apa gelaran yang mahu kita kalungkan kepada pengemis jawatan yang hina ini yang ketika ini kelihatan drama yang sama yang pernah ditayangkan 21 tahun yang lalu, akan disiarkan kembali dengan dua pelakon utamanya yang sama.

Jika berlaku sekali lagi seperti peristiwa 21 tahun lalu, adakah anda sanggup untuk kembali ke jalanan, berlawan dengan FRU, protes kepada PM? Atau anda gembira kerana satu bala dah terlepas? Kepada FRU insyaAllah saya tidak akan turun, saya lebih suka menyaksikannya secara live melalui FB sahaja.

MOHD NASIR ABDULLAH
11 Disember 2019 – HARAKAHDAILY 11/12/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -