ARAU: Gangguan bekalan air melibatkan lebih 40,000 akaun pengguna di sekitar Kangar dan Arau adalah disebabkan kejadian litar pintas yang berlaku di Loji Rawatan Air (LRA) Fasa IV di Kampung Sena, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Negeri, Izizam Ibrahim memaklumkan demikian ketika ditemui media tempatan selepas melawat lokasi berkenaan di sini, semalam.
Hadir sama Pengurus Korporat Syarikat Air Perlis (SAP), Nik Nazreen Yusrie Nik Jusoh.
Izizam turut memaklumkan kerja-kerja baik pulih berjaya diselesaikan dan SAP sedang melakukan ujian sebelum bekalan air dapat dipulihkan sepenuhnya.
“Berpunca daripada litar pintas dan ini loji paling besar di Perlis, melibatkan lebih 40,000 akaun pengguna,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa paras air dalam tangki perlu mencapai tahap tertentu sebelum bekalan air dapat disalurkan seperti biasa.
“Dalam usaha mengurangkan kesulitan pengguna, pihak SAP mengambil tindakan segera dengan menghantar lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas teruk.
“Namun, SAP hanya mempunyai sembilan lori tangki yang tersedia untuk tujuan ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Nik Nazreen berkata, kejadian litar pintas yang berlaku pada papan suis utama telah mengakibatkan dua daripada tiga pam air bersih di loji tersebut tidak berfungsi.
Hal tersebut ujarnya, menyebabkan kapasiti pengeluaran air bersih menurun kepada 30 peratus, sekali gus mengakibatkan sesetengah kawasan tidak mendapat bekalan air yang mencukupi.
“Jika tidak ada berlaku sebarang masalah dalam tempoh ujian ini, kita akan dapat memulihkan bekalan air dalam tempoh 48 jam kepada semua pengguna,” ujarnya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pihak SAP sedang berusaha keras untuk memastikan bekalan air dapat dipulihkan secepat mungkin. HARAKAHDAILY 13/6/2024