BACHOK: PAS Kelantan mengerakkan kutipan derma bagi membantu PAS Pusat khususnya PAS Perak berhadapan Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, 26 April depan.
Setiausaha PAS Negeri Kelantan, Dato’ Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, bulan Ramadan merupakan peluang terbaik, bahkan ia menjadi salah satu cara untuk meraih pahala berlipat kali ganda.
“Kita akan berdepan dengan Ayer Kuning, ini bukan air bah (banjir) tetapi nama tempat yang akan adakan pilihan raya kecil dan mereka kini amat memerlukan sumbangan daripada kita semua.
“Jadi sempena Ramadan ini kita amat digalakkan oleh agama untuk sedekah hari hari jadi kita ambil kesempatan untuk bersama-sama menyumbang derma yang digandakan pahala oleh Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghayatan Nuzul al Quran dan Ceramah Badar al Kubra PAS Negeri Kelantan di Kompleks Pendidikan Islam (KPI) Kampung Badak, di sini malam tadi.
Turut hadir Menteri Besar, Dato Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud dan Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad serta Pesuruhjaya PAS Kelantan merangkap Timbalan Mursyidul Am, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April sementara penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
Ia diadakan susulan kematian wakil rakyatnya, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15), wakil Barisan Nasional (BN) itu menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, PH, PN, Pejuang dan Sosialis.
Maklumat SPR mendedahkan daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 dari jumlah tersebut merupakan pengundi yang berusia antara 18 hingga 39 tahun yang dikategori sebagai belia. – HARAKAHDAILY 19/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!