Sumpah bersaksi Allah dicabuli, janji dikhianati

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sumpah pernah dilafazkan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan menyebut ‘wallahi, wabillahi, watallahi’ merupakan kesaksian sangat besar kerana bersandar kepada Allah SWT.

Ketua Penerangan PAS Negeri Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud menjelaskan, seseorang melafaz sumpah dengan kesaksian itu untuk menyatakan bahawa ucapannya adalah benar.

Namun bidasnya, sumpah Ahmad Zahid itu untuk ‘No Anwar, No DAP’ telah dilanggar sedangkan al-Quran memberi peringatan keras terhadap sikap mencabuli sumpah yang menjadikan Allah sebagai Saksi dan Penjamin itu.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan itu turut membawa hadis mengenai peringatan Rasulullah SAW agar tidak berkawan dengan orang yang menipu dan berbohong.

Apatah lagi katanya yang juga ADUN Meranti, untuk orang yang mempunyai watak sedemikian dipilih atau diangkat menjadi pemimpin kepada orang ramai atau rakyat tentunya lebih tidak wajar.

Beliau berucap demikian di hadapan puluhan ribu hadirin pada Ceramah Mega Ppakat Pertahan ‘PAS Pilihanku’ yang diadakan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

“Nabi sebut tiap-tiap ore (orang) dia kena tengok dia bersaing (berkawan) dengan siapa. Pastikan dia bersaing dengan orang juruh (baik), jangan bersaing dengan penipu, jangan saing dengan orang cakap bohong.

“Kalau saing dengan penipu pun tak boleh, saing dengan orang kecek pelawok (cakap bohong) pun orang tua pesan tak boleh. Takkan kita nak undi pemimpin yang akan pelawok (bohong). 

“Takkan kita nak lantik jadi pemimpin, orang yang berbohong, tipu. Bukan setakat tipu, tiga juta ahli Umno. Tapi dia tipu seluruh rakyat Malaysia,” tempelak beliau terhadap kejahatan dan khianat itu.

Ustaz Nassuruddin turut mengulangi segala janji dan formula pernah dikemukakan Presiden dan Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Mohd Rafizi Ramli yang kini adalah Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi.

Malang sekali, semua janji tersebut bidasnya, tidak ditunaikan termasuk janji mengenai royalti petroleum yang sepatutnya dibayar 5 peratus kepada negeri, tetapi Anwar berjanji mahu beri sehingga 20 peratus.

“Bila dia (Anwar) menang (jadi Perdana Menteri), sa (satu) peratus pun dia tak bayar. Pelawok (pembohong)! Apa makna pelawok? Pelawok ni kalau kita mengaji ni, takrif pelawok, orang Melayu pun pahe (faham)

Pelawok ni kecek (cakap) lagu lain buat lagu lain, itulah,” bedalnya mengulangi hadis supaya umat menjauhi orang yang sedemikian di mana kini mempromosikan ‘Madani’ sedangkan madani itu juga agenda Nabi SAW. – HARAKAHDAILY 12/6/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!