Demi iman, batalkan Anugerah Bintang Popular

IMAN itu tidak selalu menaik. Terkadang, adakalanya iman itu menurun.Tatkala iman menurun, saat itu yang paling ditakuti. Tatkala iman menurun, dibimbangi tidak dapat mengawal emosi dan perasaan. Bahkan amat merisaukan sekiranya terjadi sesuatu diluar jangkaan iman.

Advertisement

Tatkala iman menurun, sang kekasih pasti mula merindui kekasihnya. Malah, sampai ke suatu tahap yang amat sukar untuk mengawalnya lagi. Bahkan, apabila rindu menerpa, perasaan bergelora dan sakitnya jiwa tiada siapa pun yang tahu.

Maka, saat itu hanya doa yang mampu dipanjatkan agar Allah sentiasa bersama walau dalam apa jua keadaan dan walau di mana jua berada.

Kita sedia maklum bahawa Rasulullah S.A.W adalah setakwa-takwa manusia. Namun begitu Baginda selalu berdoa untuk mendapatkan sifat takwa. Di antara doa Baginda S.A.W ialah:

“Ya Allah, kurniakanlah diriku ini sifat takwa. Sucikanlah diriku ini. Engkaulah sebaik-baik yang membersihkannya. Engkaulah pembelanya dan tuannya.”
(Riwayat Muslim dan Ahmad)

Apa itu takwa?

Takwa yang sebenar-benarnya ialah berusaha bersungguh-sungguh untuk meninggalkan semua dosa-dosa sama ada dosa kecil apatah lagi dosa-dosa besar dan melakukan semua kebaikan yang disuruh oleh Allah S.W.T sama ada yang wajib mahupun yang sunat.

Boleh juga dikatakan bahawa takwa adalah rasa hati yang amat takut kepada Allah S.W.T kalau-kalau terbuat atau membuat dosa kecil apalagi dosa besar. Oleh kerana begitu takutnya untuk melakukan kejahatan dan dosa, maka yang tinggal di dalam hati ialah keinginan yang kuat untuk membuat kebaikan dan amal soleh, sama ada kebaikan dengan Allah atau dengan sesama manusia.

Ya Allah, Ya Rabb, Ya Quddus, janganlah Engkau biarkan hamba-hambaMu ‘terlena dalam buaian mimpi’ yang mengasyikkan dan menyeronokkan. Tetapkan kami dengan iman yang senantiasa meninggi.

Namun, jika ini suratan takdir, doa dipohonkan agar Engkau berikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran yang luar biasa untuk kami menghadapi hari-hari mendatang yang mana telah meletakkan kami dalam lingkungan PKPB seluruh negeri kecuali Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Adakah hari-hari yang bakal kami tempuhi itu penuh dengan linangan air mata? Atau adakah akan muncul sinar kegembiraan? Kami tidak tahu Ya Rabb. Walaubagaimanapun, kami mengharapkan suatu hari nanti kebahagiaan akan sirna jua.

Hanya Engkau yang Mengetahui keadaan kami sekarang ini, yang mana bukan setakat di Malaysia sahaja, bahkan di seluruh pelusuk dunia sedang mengalami saat-saat sukar berdepan dengan penularan wabak COVID-19.

Sehingga kami terpaksa menjaga SOP yang ditetapkan kerajaan. Ia amat membeban dan menyukarkan penduduk bumi untuk melakukan sebarang akiviti seperti dulu-dulu.

Ya Rabb, Ya Hayyuy, Ya Qoyyum, Engkau hapuskanlah segera wabak COVID-19 tersebut. Ia makhluk-Mu dan kami juga makhluk-Mu. Kami berharap sangat Ya Rabb agar Engkau hapuskan segera COVID-19 yang sedang mengganas menyerang penduduk bumi ini. Hanya Engkau Ya Rabb yang boleh menolong Kami. Hanya kepada-Mu tempat kami bergantung harap. Maka bantulah kami.

Cinta itu… Adakah bertepuk sebelah tangan? atau sebaliknya tidak diketahui. Ya Rabb, Ya Quddus, cinta-Mu kami inginkan. Balaslah cinta itu. Tinggikan keimanan kami dan bantulah kami dalam berdepan dengan senario dunia hari ini.

Kami takut akan bala dan azab-Mu Ya Rabb. Justeru itu, bantulah kami agar iman kami senantiasa menaik supaya kami dapat menahan diri daripada melakukan sebarang dosa dan maksiat.

Tatkala kami, penduduk bumi berdepan dengan serangan wabak COVID-19 tetapi masih ada segelintir antara kami yang tergamak untuk mengadakan konsert hiburan yang melalaikan dan mengundang dosa dan bala.

Namun kami bersyukur kepada-Mu Ya Rabb kerana pimpinan kami bertindak pantas mencari solusi. Ramai dalam kalangan pimpinan kami terutama dari parti PAS yang bersungguh-sungguh inginkan agar konsert ABPBH tersebut dibatalkan bahkan tidak perlu diadakan terus lagi baik. Izinkan konsert itu dibatalkan Ya Rabb.kami takut ianya akan mengundang bala dan azab-Mu ya Rabb.

Kami, penduduk bumi sedang berhadapan dengan serangan wabak COVID-19. Sepatutnya, kami semua boleh insaf tetapi berlaku sebaliknya. Kepada penganjur ABPBH insaflah, takutlah akan azab dan murka Allah. Batalkanlah konsert itu.

Entah-entah wabak COVID-19 ini mungkin satu peringatan dari-Mu Ya Rabb. Ampunilah segala dosa kami Ya Allah. Sampai bila lagikah COVID-19 nak memusnahkan penduduk bumi ini Ya Rabb.

Adakah ia hanya singgah dan berlalu pergi begitu sahaja atau adakah ia datang sebagai ujian buat kami? Atau singgah sekejap sekadar untuk menguji iman hamba-hamba-Mu? Hanya Engkaulah yang Maha Mengetahui sedang kami tidak mengetahuinya Ya Rabb Ya Malikul Quddus.

Apa yang merisaukan, tatkala iman menurun jari jemari begitu laju untuk menaip kata-kata cinta dan rindu di aplikasi WhatsApp si dia untuk meluahkan apa yang terpendam dan berkongsi dengan si dia akan perasaan suka duka dalam tempoh PKPB ini. Sikap segelintir anak muda seperti ini juga boleh mengundang murka-Mu Ya Rabb. Allahu.. Astaghfirullahalaziim.

Kami takut Ya Allah. Kami takut akan kemurkaan-Mu. Kami takut akan azab siksaan-Mu. Pandu kami ke jalan yang Engkau redhai Ya Rabb.

Kami hanya insan yang lemah.Tanpa bantuan-Mu siapalah diri kami, maka tergolonglah kami dalam kalangan orang-orang yang rugi. Sepertimana firman-Mu dalam surah Al-Araf ayat 96 yang bermaksud:

“Kalaulah penduduk kampung-kampung itu beriman dan bertakwa….”

Firman Allah SWT lagi:

“Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa diantara kamu.”
(al-Hujurat: 13)

Ya Rabb, jangan Engkau biarkan kami tanpa-Mu walau hanya sekelip mata. Kami tidak kuat untuk menghadapi dugaan ini tanpa-Mu disisi. Biarlah Engkau yang sentiasa bertakhta dihati kami Ya Rabb. Hanya cinta-Mu cinta yang teragung lagi suci yang kekal abadi.

Ya Allah, Kami rindukan-Mu dan Rasulullah. Kami memohon cinta dari-Mu dan cinta orang yang mencintai-Mu serta kami pohon amal yang boleh mendekatkan kami kepada cinta-Mu.

Biarlah cinta-Mu itu bisa membuatkan kami semua insaf. Maka dengan itu, sekali gus dapat menolak segala bala dan bencana-Mu. Malah, yang paling penting adalah kami diberi nikmat iman dan islam yang berterusan dalam dakapan dan rangkulan cinta-Mu agar kami sentiasa berasa selamat dan tenang dibawah kasih sayang, rindu dan cinta-Mu Ya Rabb.

UMMU ANAM KHAIR – HARAKAHDAILY 13/11/2020