Sokong peruntukan RM16 juta baik pulih Pulau Petang

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu menyatakan sokongan penuh terhadap peruntukan sebanyak RM16 juta daripada Kerajaan Pusat bagi kerja-kerja baik pulih Pulau Petang, yang terletak di Tasik Kenyir.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berharap peruntukan itu dapat menjadikan Pulau Petang sebagai lokasi hentian utama bagi pelancong yang ingin mengunjungi ke Santuari Kelah. 

“Kita harap supaya kerja baik pulih ini dapat disiapkan sepenuhnya dan menjadikan Pulau Petang satu hentian untuk ke Santuari Kelah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) mengumumkan akan membaik pulih Resort Pulau Petang yang telah terbiar sejak empat tahun lalu.

Pengerusi KETENGAH, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kos baik pulih resort yang berusia kira-kira 25 tahun itu akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan RM16 juta diluluskan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Razali bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa Pulau Petang terbengkalai sejak 2021, sebaliknya beliau berkata, pembangunan pulau itu tidak pernah disiapkan sepenuhnya bermula dari penambahan yang dilakukan oleh bekas Menteri Besar itu.

“Pulau Petang telah bermula sejak 2010 dan kemudiannya ditutup pada tahun 2022. Pulau ini sebenarnya pembangunannya tidak pernah siap dan pulau ini dipelopori oleh KETENGAH.

“Zaman Ahmad Said sebagai Menteri Besar, beliau telah belanjakan sebanyak RM25 juta untuk membuat pertambahan dan daripada situlah Pulau Petang tidak menjadi satu pulau yang siap dengan resort dan sebagainya.

“(Ini) Seperti mana yang didakwa oleh beliau dan pada ketika itu Syarikat Nika Niaga sebagai pengurus. Apabila saya sebagai pengerusi KETENGAH saya tukar Nika Niaga kepada KETENGAH Niaga.

“Jadi itulah sejarah Pulau Petang yang dibina oleh KETENGAH pada asalnya selepas itu Kerajaan Negeri, selepas itu diuruskan oleh KETENGAH.

“Jadi kita nak cari kesilapan siapa sebenarnya, siapa yang buat terbengkalai, siapa yang merosakkan perniagaan itu sebenarnya?,” soalnya.

Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berpendapat sebarang isu berkaitan pembangunan Pulau Petang perlu diselesaikan melalui perbincangan profesional bukannya menerusi media.

“Saya pun tak faham tindakan Pengerusi KETENGAH. Sepatutnya kita berbincang secara ilmiah dengan saya sebagai Exco Pelancongan, bukan membuat kenyataan melalui media,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pihak KETENGAH enggan bekerjasama, fungsi pemasaran Tasik Kenyir boleh diserahkan kembali kepada kerajaan negeri.

“Jika mereka tidak berminat untuk bekerjasama, kita boleh minta KETENGAH menyerahkan kembali fungsi pemasaran yang telah diberikan kepada mereka kepada kerajaan negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/2/2025