Relativisme dan kekeliruan menentukan kebenaran

- Advertisement -

RELATIVISME adalah satu fahaman yang menganggap bahawa kebenaran itu berbilang-bilang. Fahaman ini sealiran dengan Liberalisme yang mengangkat kebebasan.

Apabila kebebasan itu diangkat setinggi-tingginya sehingga mencapai liar, maka, masing-masing bebas menentukan kebenaran masing-masing. Lalu, kebenaran itu menjadi berbilang-bilang.

- Advertisement -

Ia sealiran juga dengan Existentialisme, yang menganggap bahawa apa yang seseorang itu rasakan baik, ia dianggap mulia (moral) sekalipun melakukan perbuatan yang tidak senonoh. 

Lalu, moral itu ditentukan mengikut selera masing-masing. Inilah yang dapat difahami dengan Relativisme moral atau etika, yang menganggap bahawa tidak ada istilah moral atau etika sejagat.

Relativisme ada sikit persamaan dengan Subjektivisme. Kedua-duanya menganggap kebenaran itu berbilang-bilang (relatif) pada setiap individu.

Cuma, Relativisme menyatakan bahawa semua sudut pandangan yang sama itu berlaku. Manakala Subjektivisme menyatakan bahawa tidak ada sudut pandang yang sah. Ini kerana setiap sudut pandangan bersifat relatif terhadap setiap individu.

Apabila kebenaran itu dianggap berbilang-bilang, maka manusia itu akan bebas membuat kerosakan, menyebar fitnah, dan sebagainya, kerana tidak dicegah. Ini kerana, masing-masing memikirkan bahawa “walaupun orang itu buat rosak, tapi dia ada pandangan tersendiri kenapa dia buat begitu, siapa aku nak hukum”.

Maka ia akan melahirkan konsep ‘Husnuz Zhon’ yang menyimpang. Membiarkan kemungkaran, dengan dilapik perkataan itu. Konsep ‘membiarkan kemungkaran’ ini sememangnya telah menjadi kebiasaan bagi Bani Israel;

كَانُواْ لَا يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍۢ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُواْ يَفْعَلُونَ

“Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.”

(al-Maidah: 79)

Al-Quran menggambarkan mengenai berbilang-bilangnya kebenaran ini berdasarkan ‘claim-claim’ Bani Israel, antaranya claim mereka sebagai pemegang kunci syurga.

Firman-Nya:

وَقَالُوا لَن يَدْخُلَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَن كَانَ هُودًا أَوْ نَصَارَىٰ ۗ تِلْكَ أَمَانِيُّهُمْ ۗ قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

“Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani”. Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.”

(al-Baqarah: 111)

Islam berbeza dengan cara fikir Barat. Islam menegaskan bahawa kebenaran itu mestilah bersifat tunggal, dan ia daripada Allah S.W.T 

Allah S.W.T menegaskan:

وَقُلِ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ ۖ فَمَن شَآءَ فَلْيُؤْمِن وَمَن شَآءَ فَلْيَكْفُرْ

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya.”

(al-Kahfi: 29)

Apabila fahaman Relativisme diangkat dan diagungkan, akan lahirlah lebih banyak golongan yang meng’claim’pembawa kebenaran, atau pemegang kunci syurga.

Apabila masing-masing cenderung untuk meng’claim’ kebenaran, akan merosotlah daya penghujahan. Ini kerana kebenaran itu tertegak dengan hujah, bukan dengan claim. Rujuk ayat 111 Surah al Baqarah yang saya nukilkan tadi.

Di sinilah lahirnya kekeliruan yang berlipat-lipat. Khususnya kekeliruan di akhir zaman. Masing-masing terkeliru, mana satu benar, mana satu salah. 

Apa kesannya?

1. Dari sudut moral, akan melahirkan masyarakat yang tak bermoral. Ini kerana moral ditentukan oleh selera masing-masing. Orang yang melakukan kejahatan, akan mempertahankan perbuatan itu kerana menganggap ia perbuatan baik.

2. Lahir masyarakat yang serba keliru. Tertipu dengan dakwaan-dakwaan kebenaran, sedangkan ia adalah palsu. Setelah masing-masing bosan dengan fenomena ini, ada yang akan ‘mencipta’ fahamannya sendiri, kemudian meng’claim’ dirinya pula yang bawa kebenaran

3. Asas ilmu akan semakin rapuh. Contohnya, orang Islam itu asalnya berhujah dengan al-Quran dan Hadis, tetapi beralih kepada berhujah dengan pendapat orang-orang tertentu. Sedangkan pendapat itu belum capai tahap hujah. Maka, lahirlah satu fenomena, di mana kebenaran itu disandarkan individu-individu tertentu, bukan disandarkan hujahnya.

4. Mereka yang kagum dengan pemikiran-pemikiran falsafah Barat pula, lebih suka bersandarkan kepada rasional pemikir Barat itu. Mereka menganggap rasional orang-orang tertentu sebagai kayu ukur kebenaran, sedangkan tidak. 

5. Relativisme akan melahirkan masyarakat yang ke arah normalisasi kemungkaran. Bebas melakukan kemungkaran kerana menganggap ia adalah kebebasan individu untuk menentukan jalannya.

6. Al-Quran bukan sekadar menyatakan ia adalah kebenaran, bahkan al-Quran turut membuktikan secara rasional bahawa ia memang terbukti benar. Jika kita meneliti penghujahan al-Quran dalam menentukan kebenaran, kita akan dapati bahawa ia terpakai untuk semua lapisan manusia. 

Maksudnya, hujah al-Quran terpakai ketika kita berdialog dengan para Atheis, Liberalis, Sekularis dan siapa sahaja. Ia bukan hanya sekadar hujah untuk sesama orang Islam sahaja.

MUHAMMAD MUJAHID IR HAJI MOHAMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 8/3/2022

Artikel yang berkaitan:

- Advertisement -