ALOR SETAR: Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya, mewakili PAS Kedah merakamkan ucapan takziah khususnya kepada ahli keluarga atas pemergian Toh Puan Faikah Syeikh Hamzah, ke rahmatullah, pagi ini.
Almarhumah yang merupakan balu kepada bekas Menteri Besar Kedah, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pada jam 3.45 pagi tadi, di Institut Endokrin, Hospital Putrajaya.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga dan semoga Almarhumah ditempatkan di kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” kata beliau pada kenyataan yang dimuat naik ke laman sosialnya, pagi ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam pada itu melalui pautan di laman sosialnya, turut menitipkan doa semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhumah serta mengampunkan segala dosa dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman serta beramal soleh.
Sanusi antara pemimpin PAS yang agak akrab dengan keluarga Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan sebelum ini, mengharapkan semua ahli keluarga terutama anak-anak Almarhumah sabar dan tabah dengan kehilangan ini.
“Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, sembuhkanlah dia, maafkanlah dia, dan muliakanlah dia, luaskanlah pintu masuknya, basuhlah dia dengan air, salju dan dingin, dan bersihkanlah dia dari dosa sebagaimana pakaian putih membersihkan kotoran,” demikian doa dan pengharapan dari beliau.
Dalam pada itu solat jenazah disempurnakan di Masjid Teras Jernang, Bangi dan jenazah akan dikebumikan selepas solat Zohor di tanah perkuburan, masjid tersebut.
Semoga Allah permudahkan segala urusan dan salam takziah dari seluruh warga Harakah. Al-Fatihah. – HARAKAHDAILY 19/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!