KANGAR: Karnival Tahun Baru 2025 anjuran pihak negeri bakal berlangsung dengan pelbagai pengisian menarik bermula dari pagi hingga ke tengah malam bertempat di Dewan 2020, di sini pada 31 Disember.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri, Ustaz Muhammad Azmir Azizan berkata, karnival ini bertujuan memperkenalkan slogan “Indahnya Hidup Bersyariat” di samping melancarkan kempen ‘Nak Tenang dan Bahagia: Jom Baca Al-Quran’.
“Kempen ini bertujuan mendidik masyarakat bahawa ketenangan dan kebahagiaan hakiki datang daripada mendekatkan diri dengan Al-Quran serta amalan hidup berlandaskan nilai Islam,” katanya kepada Harakahdaily, di sini hari ini.
Pelbagai aktiviti menarik telah disusun sepanjang karnival ini iaitu sesi pagi, acara dimulakan dengan pertandingan tulisan Jawi dan khat serta pertandingan mewarna yang memberi fokus kepada golongan kanak-kanak dan remaja.
Pada sebelah petang, program diteruskan dengan himpunan motosikal yang dijangka menarik perhatian golongan belia dan seluruh masyarakat.
Acara kemuncak bakal berlangsung pada sebelah malam, bermula dengan solat Maghrib berjemaah diikuti persembahan bacaan Al-Quran.
Ia bakal menampilkan bekas Johan Tilawah Antarabangsa, Ustaz Radzi Kamarul Hailan, bersama Johan Qari Musabaqah Cilik TaHa Peringkat Kebangsaan, Muhammad Aqeef Ahmad Zuhdi.
Program diteruskan selepas solat Isyak dengan sesi talk show bertemakan “Membina Generasi Ulul Albab” menampilkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor sebagai panel jemputan.
Kemuncak program akan menyaksikan majlis perasmian serta pelancaran kempen ‘Nak Tenang dan Bahagia: Jom Baca Al-Quran’ yang menjadi teras utama karnival.
Di samping itu, pengunjung juga bakal dihiburkan dengan persembahan khas yang diadakan secara sederhana, mematuhi garis panduan agama.
Tambah Ustaz Muhammad Azmir, karnival itu bukan sahaja sebagai hiburan, tetapi turut menekankan usaha memperkasa tulisan Jawi dan khat, menyediakan ruang perkongsian ilmu, serta memperkenalkan hiburan yang patuh syariah.
Beliau menjemput seluruh masyarakat untuk hadir beramai-ramai memeriahkan karnival ini sambil mengisi masa dengan aktiviti bermanfaat dan berlandaskan nilai murni.
“InsyaAllah, karnival ini mampu memberikan pengalaman bermakna kepada semua pengunjung dalam menyambut tahun baru yang lebih tenang dan diberkati,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 21/12/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!