COVID-19: PKPD dua penempatan di Kluang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang bermula tengah malam ini.

- Advertisement -

Arahan tersebut berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan terdapat 61 kes positif COVID-19 melibatkan dua penempatan yang mempunyai 3,570 penduduk tempatan daripada keseluruhan 83 kes di Daerah Kluang itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan memaklumkan, jumlah penduduk itu adalah daripada 650 keluarga di mana mereka tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang PKPD dikuatkuasakan sehingga 9 April depan.

Menurutnya, tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut dan langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah sepanjang tempoh 14 hari.

Tegasnya, PKPD juga tertakluk ke atas pelawat yang telah berada di kedua-dua kawasan, manakala bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kedua-dua kawasan sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.

“Semua aktiviti perniagaan dihentikan. Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD.

“Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup (di mana) bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.

“Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

“Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 07-7735224 atau 07-7722434,” ujarnya.

Laporan kes positif jangkitan COVID-19 terus mencatat pertambahan terbaharu menjadikan jumlah kumulatif kini 2,031 kes dengan kematian juga meningkat kepada 23 kes, sementara 215 kes telah pulih sepenuhnya setakat jam 5:00 petang hari ini. – HARAKAHDAILY 26/3/2020

- Advertisement -