KUANTAN: Kesan perubahan iklim yang berlaku ke atas sektor pertanian perlu diambil perhatian sepenuhnya oleh kerajaan negeri, ujar Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Cheka).
Pahang menurut beliau, mempunyai potensi yang sangat besar untuk terus meningkatkan sektor pertanian berdasarkan pada keluasan tanah dimiliki oleh negeri ini.
“Kesan perubahan iklim yang berlaku perlu kita beri perhatian yang serius, sebab sektor pertanian adalah sektor yang paling kritikal. Sebagai contoh peningkatan paras laut.
“Kalau betul unjuran yang dibuat oleh pihak kerajaan ataupun agensi-agensi tertentu mengatakan bahawa paras air laut kita akan meningkat 0.35 meter menjelang tahun 2100.
“Dan kalau ini berlaku, saya bimbang kawasan-kawasan pertanian kita akan ditembusi oleh air masin. Ia akan ada kesan langsung kepada kawasan industri pertanian,” katanya.
Timbalan Presiden PAS dan Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mengemukakan demikian dalam Perbahasan Belanjawan 2025 Negeri Pahang di Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Negeri, di sini hari ini.
Beliau selaku juga Ketua Pembangkang turut memberi amaran terhadap ramalan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkenaan isu kemarau yang berkemungkinan akan berlaku.
“Ramalan MetMalaysia bahawa kita akan berdepan kemarau yang panjang pada tahun hadapan, dan kalau tengok senario biasa kita alami, bila hujan, banjir besar, berikutnya kemarau yang besar. Itu sistem yang Allah Taala atur,” katanya.
Pahang juga katanya, mampu menjadi hab pengeluar durian di Malaysia berdasarkan keluasan dan daerah yang dapat dijadikan tempat untuk menanam buah tersebut.
“Kita ada empat daerah, Raub, Bentong, Jerantut, Lipis antara kawasan yang sangat berpotensi untuk pengeluar durian,” katanya turut menyentuh isu pencerobohan tanah secara haram di kawasan Bentong melibatkan durian Musang King.
Gesanya, pencerobohan tanah haram menuntut kerajaan untuk bertindak ke atas penerokaan sebanyak seribu hektar seperti yang berlaku di Bentong menyebabkan kerajaan tidak mendapat hasil balak.
“Sudah lah hasil tak dapat, cukai pun tak dibayar sebab mereka ceroboh secara haram. Saya fikir sampai masa, kita cuba legalize kan. Cuba rasmikan penanaman Musang King sama ada melalui proses pembelian pajakan tahunan kepada pengusaha durian,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/12/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!