PASIR PUTIH: Badan bukan kerajaan (NGO) dalam dan luar Kelantan tidak putus-putus membantu mangsa banjir sama ada dengan menghulurkan sumbangan atau membantu mereka membawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
ADUN Limbongan, Nur Asilah Mohamed Zin yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri berkata, pihaknya membuka seluasnya kehadiran NGO, badan korporat yang ingin membantu mangsa banjir .
Menurutnya, sokongan orang ramai dari luar Kelantan yang ingin turun membantu juga amat dialu memandangkan masih terdapat ribuan mangsa banjir ditempatkan di PPS dalam DUN ini.
“Banjir yang luar jangka ini adalah cabaran yang besar buat mangsa terutama dalam proses pemulihan dan pembersihan pada mereka yang sebahagiannya adalah kali pertama.
“Khidmat bakti dan program CSR (khidmat sosial korporat) amat didambakan dari semua pihak,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih pada NGO Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA) Cawangan Kelantan yang turut menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Jelor semalam.
Beliau turut mengucapkan terima kasih pada masyarakat Jelor dan pasukan Penghulu Jelor, Mohd Azizi Abdul Kadir.
Beliau turut memberitahu, sewaktu hujan lebat baru-baru ini pergerakan untuk turun membantu mangsa banjir agar terbatas, memandangkan rumahnya terperangkap dengan banjir.
“Rumah saya alhamdulillah tak kena banjir, kebetulan kedudukan rumah saya agak tinggi, cuma saya tersekat air memandangkan kediaman penduduk kampung bahagian bawah telah ditenggelami air,” katanya lagi.
Tambahnya, beliau dan petugas keselamatan serta PKD Limbongan tetap meneruskan misi bantuan dan menyantuni penduduk kampung yang ditempatkan di PPS walaupun sendiri berdepan situasi sama seperti mangsa banjir.
Sehingga kini seramai 10,654 mangsa dari 3,260 keluarga masih ditempatkan di PPS dalam Daerah Pasir Putih setakat pukul 10:45 pagi tadi.
Bagaimanapun DUN Limbongan mencatatkan jumlah paling tinggi, iaitu seramai 3,741 mangsa dengan turut terkesan dengan banjir DUN Semerak dan DUN Selising.
Dalam usaha membantu mangsa banjir dan kalangan yang terkesan bencana tersebut, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.
Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menggunakan akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 2/12/2024