Kewujudan kumpulan pelampau tenatkan negara

- Advertisement -

SAYA melihat isu sosial, pendidikan dan agama mutakhir ini semakin meruncing dengan kehadiran kumpulan pelampau atas nama Liberal dan perkauman iaitu G25.

- Advertisement -

Saya katakan melampau adalah kerana tuntutan mereka bukan menambah baik keharmonian sesama rakyat sebaliknya menyuntik satu demi satu suntikan anti nasional dan anti beragama dalam kalangan rakyat Malaysia.

G25 bukan kumpulan Liberal yang tulen. Mereka adalah Sekularisma Melayu yang hanya merencana wacana dan membawa naratif buruk terhadap agama Islam sahaja.

Jika benar mereka Liberal pastilah wacana kritikan beragama juga dilakukan kepada pihak agama lain. Soalnya mengapa hanya serangan pada Islam? Apa manfaat dan minat G25 sebenarnya?

Kumpulan ini layak diharamkan kerana tiada satu pun kenyataan mereka yang memberi manfaat kepada rakyat majoriti di Malaysia melainkan obses dan ‘centric’ pada kelompok yang mereka wakili sahaja.

Mereka tidak tahu apa yang mereka katakan sebenarnya. Misalnya kejahilan Zainah Anwar tentang silibus Pendidikan Islam di sekolah. Pengasas Sister in Islam (SIS) Zainah Anwar, berkata selepas pelancaran kertas “Administration of Matters Pertaining to Islam” oleh Pengerusi Jawatankuasa G25 , Asiah Abu Samah, kata Zainah, “pengajaran pendidikan Islam yang diajar di sekolah dan universiti pada masa ini perlu diperluas atau dianggap sempit dan tidak lengkap kerana kononnya  pengajaran Islam di sekolah Malaysia  hanya memfokuskan kepada ritual dan budaya, dan hukuman terhadap kesalahan melanggar perintah agama”.

Katanya  pendidikan Islam perlu diajar dengan lebih terapkan nilai dan didikan agama yang benar seperti ikhlas, baik hati, murah rezeki.

Jelas kumpulan Liberal ini hanya membaca buku dengan membaca tajuk di kulit buka sahaja. Tahukah mereka soal ikhlas, baik hati dan soal moral itu soal tasawuf dan ia memang ada dalam silibus dalam subjek akhlak? Ia diajar dari tadika Islam, di KAFA, Sekolah Rendah hingga Sekolah Menengah.

Tahulah juga para juhala’ ahli jahil G25 dan Sister In Islam bahawa Islam terdiri dengan elemen tauhid, ibadah dan tasawuf akhlak dan bukan akhlak semata-mata. Mana datangnya akhlak jika tauhid dan ibadah tidak diamal, tak tahu? 

Adakah mereka ini membaca semua buku teks sekolah dan lihat peratusan ilmu ibadat yang amat dibenci mereka itu iaitu hukum hakam melebihi elemen tauhid dan akhlak?

Kerajaan tidak boleh lagi biarkan kumpulan pelampau ini bergerak di Malaysia. Malaysia tidak memerlukan orang orang yang jahil tentang agama, sejarah negara bangsa, ketamadunan sejagat tetapi berlagak angkuh sombong seperti kumpulan G25 ini untuk terus meracuni anak anak bangsa yang lebih bijak menilai antara cahaya dan gelap gelita dalam urusan hidup ini.

YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik – HARAKAHDAILY 15/1/2020

- Advertisement -