Wakaf pengajian Islam untuk muallaf Kampung Dusun

- Advertisement -

PEKAN: PAS Kawasan Pekan dan Muslimat PAS DUN Chini telah mengadakan lawatan bagi meninjau perkembangan terkini pembinaan surau dan tempat pengajian fardu ain Kampung Dusun, Chini, di sini semalam.

- Advertisement -

Lawatan diketuai Timbalan Yang DiPertua PAS Pekan, Ustaz Mohd Fadhil Noor Abdul Karim itu turut disertai Setiausaha DUN Chini, Azman Che Ani dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Muslimat PAS Pekan, Kamariah Ishak.

Siri lawatan susulan ke tapak projek sejak inisiatif ini dimulakan awal tahun lagi dalam usaha menyokong perkembangan Islam itu juga disertai sendiri oleh wakil masyarakat Orang Asli, Abdul Rahman Abdullah.

Untuk sampai ke tempat ini perlu memasuki ke dalam sejauh 300 meter dari jalan utama yang berturap dan tempat ini pada asalnya hanyalah pondok untuk berehat setelah penat bekerja menoreh getah.

Namun kemudiannya, telah dijadikan tempat belajar mengaji dalam keadaan hanya beratapkan zink yang bocor, lantai kurang elok dan tidak berdinding disebabkan kurangnya kos penyelenggaraan.

“Pada bulan 10 tahun lepas, adik lelaki saya yang Non-Muslim tolong baiki lantai dan atap sebab tengok kita orang mengaji dalam lantai yang tidak elok dan waktu hujan kami basah,tempias,” ujar Rubiah Abdullah, antara orang terawal dalam masyarakatnya yang memeluk Islam.

Menyedari keadaan ini dan melihat bahawa masyarakat Orang Asli yang beragama Islam wajib diberikan perhatian, PAS Kawasan Pekan telah mengambil inisiatif untuk memperbesarkan bangsal tersebut.

“PAS mengambil tanggungjawab mencari sumbangan, alhamdulillah, khususnya banyak dari Chini Timur, orang perseorangan dan juga tempat lain adalah bagi sumbangan sedikit sebanyak dan kita buat keputusan memperluaskan tempat ini,” ujar Ustaz Fadhil Noor.

Kini, bangsal yang didirikan pada tahun 2013 itu telah berubah, hampir siap sepenuhnya dan pastinya memberikan kelegaan buat muallaf kaum Jakun ini ketika belajar dan menunaikan solat berjemaah.

Alhamdulillah, kita syukur kepada Allah, hampir 98 peratus siap, selesai di sini projek yang kedua kita nak buat, kelas fardu ain di Kampung Batu Gong pula,” tambah Ustaz Fadhil  yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pekan.

Sementara itu, bagi Rubiah pula, beliau begitu gembira di atas sumbangan orang ramai yang prihatin dan mengambil berat terhadap golongan muallaf sepertinya, malahan sanggup mengeluarkan kos memungkinkan terhasilnya tempat mengaji yang lebih luas dan selesa. – HARAKAHDAILY 30/11/2020

- Advertisement -