‘Train To Dabong’ limpahi rezeki penduduk tempatan 

- Advertisement -

KUALA KRAI: Jolokan Dabong sebagai ‘jin bertendang’ sudah lama berlalu kerana lokasi itu sekarang terkenal sebagai tempat pelancongan alam semula jadi.

- Advertisement -

Dabong terletak kira-kira 149 kilometer dari Kota Bharu kini popular sebagai Eko-Pelancongan Lestari pada hujung minggu dan cuti sekolah.

Situasi itu mulai berubah ekoran muncul fenomena ‘Train To Dabong’ yang mula diperkenalkan Kereta Api Tanah Melayu Berhad pada tahun 2020.

Fenomena itu turut membantu penduduk tempatan mencari rezeki dengan berniaga mee udang, kraftangan, pisang goreng, mengusaha rumah tumpangan, chalet dan pemandu pelancong.

Che Muhammad Che Abdullah

Seorang penduduk tempatan Che Muhammad Che Abdullah, 55, berkata, beliau membawa pelancong dengan kenderaan darat dan bot bagi meninjau lokasi menarik yang terdapat di Dabong.

Katanya, ada pelancong yang ingin melihat pemandangan menarik melalui jalan darat dan menyusuri sungai.

“Saya bersama sahabat-sahabat menanti kedatangan pelancong yang menggunakan perkhidmatan tren pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Jumaat dan Sabtu hari yang paling ramai, Ahad pula pengunjung luar Kelantan membanjiri Dabong,” ujarnya ketika ditemui di sini.

Baru-baru ini beliau dinobatkan sebagai peserta kursus terbaik Program Hos Komuniti Setempat (HKS) anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, MOTAC dan Majlis Daerah Dabong,

Seramai 25 peserta mengikuti kursus berkenaan selama empat bulan bermula Ogos lalu.

Che Muhammad juga berkata, sebelum ini beliau bekerja sebagai penoreh getah, namun sekarang bertukar kepada pemandu pelancong.

“Pendapatan yang diperolehi tidak menentu antara RM100 hingga RM200 sehari. Saya menunggu kehadiran pelancong di Stesen Kereta Api Dabong bermula jam 7.30 pagi,” katanya.

Manakala Zulhilmi Hashim, 34, juga berkhidmat sebagai pemandu pelancong menyediakan pakej khusus melibatkan Gua Ikan, Gunung Stong, Pipe Resort, Sungai Kenerong dan Lata Kertas. – HARAKAHDAILY 20/11/2024