Hakim rela letak jawatan daripada gadaikan keadilan

Foto hiasan.
- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 105)

- Advertisement -

Dalam satu kisah, 2 lelaki bertelingkah dan mengadu kepada kadi Mesir, Ibrahim bin Ishak. Beliau memerintahkan supaya ditulis hukuman ke atas salah seorang dari mereka berdua.

Orang yang dijatuhkan hukuman mengadu dan memohon bantuan dari pemerintah. Pemerintah menghantar utusan agar dihentikan hukuman sehingga mereka berdua berdamai.

Kadi Ibn Ishak meninggalkan jawatan kadi, lalu tinggal di rumahnya. Pemerintah menghantar utusan kepadanya supaya beliau menarik balik.

Beliau berkata: Aku tidak akan kembali kepada jawatan itu selama-lamanya. Tidak boleh syafaat/rekomen dalam menjatuhkan hukuman.

Dalam kisah lain, Burhanuddin bin Al-Khatib bin Jamaah, salah seorang hakim di Mesir, telah dipertikaikan oleh Muhibuddin, seorang ketua tentera, dalam satu kes. Beliau (Burhanuddin) berkata: Aku tidak rela untuk berada di bawah tekanan.

Lalu beliau mengarahkan pengikut-pengikutnya pergi, mengasingkan dirinya, dan menutup pintu biliknya.

Perkara itu sampai ke pengetahuan rajanya. Beliau rasa kurang senang. Raja memujuknya sehingga hakim itu menerima pujukannya. Burhanuddin meletakkan beberapa syarat untuk menerima balik jawatan hakim. Raja menerimanya. (Rasail Al-Islah, Imam Muhammad Al-Khadr Husain ms 85)

Beberapa pengajaran daripada 2 kisah di atas:

1. Pertelingkahan, pertikaian dan perbalahan dalam masyarakat adalah isu biasa yang berlaku sepanjang zaman, mulai daripada isu peribadi, suami isteri, keluarga hingga negara.

2. Islam meletakkan keadilan sebagai asas menangani semua isu tersebut. Keadilan mesti berteraskan syarak, bukan peraturan yang direka-reka sahaja oleh manusia. Ini kerana Allah lah yang menjadikan manusia, dan Allah lah yang Maha Mengetahui jalan keluar bagi semua isu.

3. Hakim menjadi tempat tumpuan pengaduan oleh masyarakat bagi menegakkan keadilan. Justeru, ciri-ciri tertentu mesti ada kepada hakim tersebut.

4. Dalam kisah di atas, hakim menunjukkan ketegasannya. Tiada bentuk rekomendasi terhadap kes yang telah diadukan kepada mahkamah. Tiada bentuk tekanan diberi kepada hakim. Hakim diberikan kebebasan untuk menjalankan amanahnya. Dalam masa yang sama, hakim mesti ada sifat-sifat yang telah digariskan oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka.

Ketika itu, baharulah boleh diimpikan sebuah: baldatun tayyibah wa rabbun ghafur. – HARAKAHDAILY 12/11/2024