Operasi GISBH di Kedah dipantau JHEAIK

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Datuk Abd Ghani@Zulkifli Zainudin menegaskan bahawa pihaknya sentiasa memantau pergerakan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang beroperasi di negeri ini.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada siasatan khusus dibuat membabitkan aktiviti syarikat tersebut.

“JHEAIK sentiasa memantau pergerakan kumpulan itu di negeri, namun setakat ini tiada aduan yang diterima berkaitan salah laku kumpulan terbabit di Kedah,” katanya.

Jelasnya, hasil tinjauan sebelum ini mendapati semua perniagaan yang dikendalikan GISBH masih beroperasi seperti biasa.

Perniagaan seperti motel, bakeri, kafe serta kedai makan dibuka seperti biasa walaupun sebelum ini wujud dakwaan GISBH terbabit mengeksploitasikan kanak-kanak sebagai pekerja.

GISBH sebelum ini berhadapan dengan kontroversi apabila 20 premis yang dikaitkan dengan pusat jagaan dan rumah amal kendaliannya diserbu polis, Selasa lalu.

Sementara kata Abdul Ghani lagi, pengikut GISBH sebelum ini pernah mengikuti program pemantapan akidah anjuran JHEAIK pada tahun lalu.

“Program Kenegaraan Anak Muda itu membabitkan golongan belia GISBH dikenali sebagai Remaja Pembela Ummah Muslimah (RPUM),” jelasnya lagi.

Semalam, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh juga melaporkan, pihak polis sedang mengumpul maklumat lengkap berhubung kegiatan kumpulan ini yang masih beroperasi di Daerah Kuala Muda, Kubang Pasu dan Padang Terap.

Berikutan itu beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti sekolah, restoran dan taman asuhan membabitkan kumpulan berkenaan.

Sementara Presiden PAS, Tan Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga menegaskan, pusat pendidikan di bawah PAS tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes seperti yang melibatkan GISBH.

Malah katanya, PAS tidak mempunyai hubungan dengan GISBH, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Tiada ahli PAS yang terlibat dan perkara ini dan tidak ada kaitan dengan kami (PAS).

“Siasatan berhubung kes itu, serah kepada pihak berkuasa sepenuhnya,” jelasnya ketika ditemui media pada Muktamar Tahunan PAS kali ke 70 di Kerdau, Sabtu lalu. – HARAKAHDAILY 17/9/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -