Tiga parti ‘rakan setaraf’ dalam MN – Dr Samsuri

- Advertisement -

KUALA NERUS: Ketiga-tiga parti PAS, Umno dan BERSATU merupakan rakan setaraf yang mempunyai persamaan dalam kerjasama Muafakat Nasional (MN) dibentuk kini.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tidak ada mana-mana parti yang dianggap lebih dalam kerjasama sebagai rakan setaraf tersebut.

“Saya rasa kebersamaan semua pihak daripada tiga-tiga parti dalam Muafakat Nasional adalah sebagai ‘equal-partner’ (rakan setaraf) iaitu semua pihak haruslah faham dengan Muafakat Nasional, dan tidak ada mana-mana pihak yang menjadi ‘Abang Long’ dalam erti kata politik dalam negara kita.

“Jadi bila equal-partner, saranan, nasihat itu boleh diberi tapi masing-masing kena cermin diri masing-masing, supaya kita bersama dalam Muafakat Nasional itu adalah untuk mencapai objektif.

“Bukan untuk menunjukkan siapa yang kuat, siapa yang lebih senior, lebih ramai pengikut dan sebagainya. Jadi, barulah objektif yang kita hendak capai boleh dilaksanakan.

“Kalau tidak, masing-masing hendak menunjukkan sikap yang tidak begitu enak daripada awal ini. Saya rasa ianya tidak akan memberi objektif yang terbaik kepada Muafakat Nasional,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), di Dewan Utama SESMA, Wakaf Tembesu, Kuala Nerus, hari ini.

Sehubungan itu, katanya PAS cukup yakin dan optimis bahawa perbincangan tiga parti dalam Muafakat Nasional, akhirnya mencapai persetujuan bersama dalam pakatan tersebut.

Menjawab persoalan agihan kerusi pilihan raya, kata Dato’ Seri Samsuri, pengagihan kerusi pilihan raya itu masih dalam rundingan dan perbincangan.

Menurutnya, terdapat 222 kerusi parlimen seluruh negara dalam pelbagai kategori perlu dirunding antara parti dalam Muafakat Nasional.

“Ya, Insya-Allah.. semua itu masih dalam proses dan kita ada banyak kerusi yang pernah kita (MN) rundingkan.

“(ada) 222 kerusi (parlimen), bermacam kategori dan Insya-Allah, saya lebih optimis kita akan mencapai persetuju di akhir pada perbincangan.

“Soal orang (parti) itu nak ini dan macam-macam (permintaan) itu perkara biasa. Bila kita duduk di meja perundingan, kita kena tengok (kekuatan) setiap parti itu sendiri,” ujarnya kepada pemberita. – HARAKAHDAILY 16/8/2020

- Advertisement -