Era Post Truth: Peringatan Allah dan realiti

- Advertisement -

KEMUNCULAN yang sudah dijangka

Post Truth adalah satu suasana penipuan yang dianggap benar. Ia dianggap sebagai satu konsep falsafah dan politik. Istilah ini mula digunakan pada 1992 dalam artikel Steve Tesich yang disiarkan oleh The Nation. Pada 2004 Ralph Keyes meletakkan judul bukunya ‘The Post-Truth Era’. Manakala istilah ‘Post Truth Politics’ digunakan oleh David Roberts pada 2010. Pada 2014 Joseph Heath menggunakan istilah ini sebagai ulasan kepada Pilihan Raya Ontario.

Istilah ini mula masyhur pada 2016 ketika kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Donald Trump dan Referendum Brexit. Banyak kajian mengenai istilah ini, antaranya Jennifer Hochschild mengatakan bahawa gejala ini sudah ada sejak kurun ke 18 dan 19 lagi. Walau bagaimanapun sejarahnya, hari ini ia sudah menjadi satu ‘fenomena sesat’ yang menyelubungi dunia apabila ia digunakan ‘secara rasmi’ mengikut lunas undang-undang.

Post Truth bermaksud ‘Pasca Kebenaran’ atau dengan kata lain menggambarkan bahawa kebenaran itu sudah pun hilang. Ia selari dengan Hadis-hadis akhir zaman yang menjelaskan gejala penipuan yang dahsyat. Antaranya;

- Advertisement -



سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتٌ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ , وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ , وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ ، قِيلَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ ؟ قَالَ : الرَّجُلُ التَّافِهُ يَنْطِقُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

“Akan datang kepada manusia, tahun-tahun yang banyak pembohongan. Ketika itu dibenarkan pembohong dan orang yang benar dituduh berbohong. Pengkhianat diberikan kepercayaan dan orang yang jujur dikhianati. Dan ketika itu golongan Ruwaibidhah gemar bercakap”. Sahabat bertanya “Apakah itu Ruwaibidhah?”. Jawab Nabi “Orang yang lekeh tetapi bebas berbicara perkara besar”.


Hadis ini jelas menunjukkan bahawa ‘kebenaran itu sudah lenyap’ sehinggakan manusia terkeliru mana satu benar, mana satu salah. Contohnya, apabila Sekular menyeru ke arah uzlah, Umat Islam merasa ia pendekatan para Sufi. Apabila gerakan Islam menyeru ke arah berpolitik, mereka anggap ia sebagai satu pergaduhan dan perpecahan. Apabila diseru kepada berjemaah, mereka anggap ia sebagai satu ketaksuban.

Penipuan yang menggantikan kebenaran

Di dalam Surah Yunus ayat 31 Allah S.W.T menceritakan segala bentuk kekuasaannya di atas muka bumi secara real. Hal ini disebut oleh Imam Qurtubi di dalam tafsirnya bahawa ayat 31 merupakan hujjah akal dan logik yang menggambarkan kekuasaan Allah S.W.T. Atau dengan kata lain, kekuasaan Allah S.W.T itu bukanlah fantasi, pembohongan atau rekayasa para Anbiya. Lalu Allah S.W.T menceritakan kesesatan konsep Post Truth:


فَذَ ٰ⁠لِكُمُ ٱللَّهُ رَبُّكُمُ ٱلۡحَقُّۖ فَمَاذَا بَعۡدَ ٱلۡحَقِّ إِلَّا ٱلضَّلَـٰلُۖ فَأَنَّىٰ تُصۡرَفُونَ

“Maka yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah, Tuhan kamu yang sebenar-benarnya; setelah nyata sesuatu yang benar, maka tidakkah selepas daripada itu (selain Allah itu) salah dan karut sahaja? Oleh itu, bagaimana kamu terpesong dari kebenaran?”

(Yunus: 32)



Imam Qurtubi menukilkan sebahagian tafsiran Ulamak terdahulu bahawa;


ظاهر هذه الآية يدل على أن ما بعد الله هو الضلال ; لأن أولها فذلكم الله ربكم الحق وآخرها فماذا بعد الحق إلا الضلال فهذا في الإيمان والكفر ، ليس في الأعمال

“Zahir ayat ini menunjukkan bahawa apa yang selepas (selain) Allah itu adalah kesesatan, kerana yang permulaannya ialah “Maka yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah, Tuhan kamu yang sebenar-benarnya”, manakala yang akhirnya ialah “setelah nyata sesuatu yang benar, maka tidakkah selepas daripada itu salah dan karut sahaja?”. Ini dalam konteks keimanan dan kekufuran, bukan dari segi amalan.”



Di dalam Tafsir al Bahr al Muhit, menafsirkan dengan ‘Masihkah mereka itu mengikut kebatilan setelah mana jelas bagi mereka itu kebenaran?’ Iaitu mereka memilih kebatilan sekalipun mereka sudah tahu kebenaran. Perkataan فأنى تصرفون ditafsirkan oleh al Baidhawi dengan ‘Bagaimana mereka boleh terpesong selepas mengetahui kebenaran’. Iaitu berubah daripada kebenaran, kepada kebatilan atau kesesatan

Pasca Truth yang bermaksud ‘selepas kebenaran’ atau dengan maksud ‘penipuan dan kebatilan akan menggantikan kebenaran’. Selari dengan ayat ini, bahawa kebatilan yang datang selepas kebenaran itu adalah suatu bentuk kesesatan. Atau dengan kata lain Pasca Kebenaran itu bermaksud penipuan atau kebatilan, yang berlawanan dengan kebenaran. Ringkasnya, Post Truth bermaksud Era Penipuan, atau Era Kebatilan.

Kebenaran dan kebatilan yang bercampur-aduk

Antara fenomena Post-Truth adalah mencampur-adukkan antara kebenaran dan kebatilan, selaras dengan Hadis di awal tadi, iaitu:



يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ , وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ , وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ

“Padanya dibenarkan pembohong dan orang yang benar dituduh berbohong. Pengkhianat diberikan kepercayaan dan orang yang jujur dikhianati”



Dalam hal ini, Allah S.W.T secara jelas melarang daripada mencampur-adukkan kebenaran dan kebatilan. Konsep ini boleh diistilahkan sebagai penyelewengan dan manipulasi. Antara yang diperkatakan oleh Saidina Ali R.A kepada Al Harith bin Hut:



إن الحق لا يعرف بالرجال ، اعرف الحق تعرف أهله

“Sesungguhnya kebenaran itu tidak kenal orang. Kenali kebenaran, kamu akan kenal orangnya (iaitu mereka yang bersama kebenaran).”


Allah S.W.T berfirman:



وَلَا تَلۡبِسُوا۟ ٱلۡحَقَّ بِٱلۡبَـٰطِلِ وَتَكۡتُمُوا۟ ٱلۡحَقَّ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.”

(al-Baqarah: 42)


Dalam perbincangan feqah, perlu faham bahawa mana-mana perbuatan yang menatijahkan campur-aduk antara kebenaran dan kebatilan adalah haram. Contohnya Sekularism, Liberalism dan idealogi-idealogi sesat. Selain itu berdiam diri terhadap kebatilan di saat perlu bersuara juga menyumbang kepada tercampur-aduknya kebenaran dan kebatilan

Apabila agamawan membisu bimbangkan periuk nasi

Antara situasi yang menyumbang kepada suburnya Post Truth ialah para ulamak atau agamawan yang berdiam diri terhadap kebatilan. Tidak bersuara sama ada kerana penakut, jaga periuk nasi, ataupun memang tiada kemampuan (keuzuran yang dimaafkan). Penakut dan jaga periuk nasi merupakan tindakan yang dipandang jijik oleh agama, bahkan dipertegaskan oleh para Ulamak Sufi seperti Imam Ghazali R.A, Syeikh al Izz Ibn Abdus Salam dan lain-lain.

Ini kerana penakut dan jaga periuk nasi ini adalah ‘perbuatan hati’ yang menyumbang kepada tersebarnya kebatilan. Imam Ahmad bin Hanbal, pernah dipenjara dan diseksa oleh pemerintah pada zamannya yang menganut fahaman Muktazilah. Beliau dipaksa untuk mengatakan bahawa al-Quran adalah makhluk. Era kemunculan Muktazilah seakan-akan bermula dengan benih Post Truth, dan kemudiannya berevolusi menjadi penyakit akal.

Melihat penderitaan yang dialami oleh Imam Ahmad, ramai rakan-rakannya meminta beliau melafazkan sahaja apa yang dipinta. Ini bagi menyelamatkan dirinya. Rakan-rakannya memberitahu walaupun lafaz itu salah dari sudut akidah, tetapi ia dibolehkan atas nama rukhsah (keringanan) bagi menyelamatkan nyawa. Imam Ahmad menolak permintaan tersebut. Beliau dengan tegas menjawab:



“اذا سكت العالم تقية والجاهل ينطق فمتى يظهر الحق؟”

“Jika ulamak diam kerana menyelamatkan diri, dan orang jahil pula bersuara, maka bilakah akan terzahir kebenaran?”


Ketegasan ulamak menjadi keperluan pada hari ini, apatah lagi di Era Post Truth yang penuh dengan kerencaman. Mereka yang ‘playsafe’ terhadap kebatilan, sudah pasti dilihat cenderung ke arah itu melainkan mereka bersuara menyatakan pendirian. Kealiman seseorang dalam bidang agama, bukan bermaksud licik dan cerdik daripada ditipu musuh. Tidak sedikit sejarah bagaimana para ulamak ada yang dipergunakan kerana tidak cerdik mengenai rancangan musuh.

Zaman yang semakin merosot

Di dalam beberapa Hadis Shahih ada menceritakan bahawa setiap zaman berubah ke arah kemerosotan. Sebahagian ulamak menafsirkan Hadis-hadis ini dengan maksud yang umum, dalam masa yang sama tidak menafikan wujudnya beberapa zaman tertentu yang lebih baik daripada sebelumnya. Hadis yang dimaksudkan antaranya Sabda Baginda S.A.W:



اصْبِرُوا، فَإِنَّهُ لاَ يَأْتِي عَلَيْكُمْ زَمَانٌ إِلَّا الَّذِي بَعْدَهُ شَرٌّ مِنْهُ، حَتَّى تَلْقَوْا رَبَّكُمْ. سَمِعْتُهُ مِنْ نَبِيِّكُمْ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Bersabarlah, sesungguhnya tidak akan tiba satu masa melainkan masa yang tiba selepas itu lebih teruk, sehinggalah kamu bertemu Tuhanmu. Aku mendengar hal ini daripada Nabi kamu, S.A.W.”


Post Truth atau Pasca Kebenaran adalah satu fenomena kebatilan yang datang selepas hilangnya kebenaran. Realiti ini bukan sahaja kita dapat lihat pada hari ini, bahkan ia telah tercatat dalam sejarah. Sejarah telah mencatat bahawa penindasan, fitnah, muslihat, tipu daya, propoganda, kekejaman, kezaliman dan banyak lagi muncul sedikit demi sedikit di atas pentas kehidupan manusia. Semakin jelas Hadis Nabi di awal tadi سنوات خدعات tahun-tahun yang banyak pembohongan.

Justeru, apabila kita menyedari bahawa dunia semakin menuju ke era pembohongan dan penipuan, sudah pasti kita perlu bersedia dengan ‘kecerdikan’. Lihatlah bagaimana Pemerintahan Islam ‘diperbodohkan’ untuk menguntungkan  musuh dalam banyak isu antaranya Perang Dunia 1, Sykes Picot, Arab Revolt 1916 dan banyak lagi siri-siri Umat Islam tiada persediaan untuk berhadapan dengan dunia penipuan.

Sebelum ini saya ada tulis beberapa siri penipuan disebabkan ‘kebodohan’ umat Islam sendiri [1]. Di awal tadi saya juga ada nyatakan serba sedikit mengenai politik Post Truth. Cuma, di dalam point selepas ini suka untuk saya lontarkan betapa umat Islam hari ini, khususnya para ulamak, perlu memahami dan mendalami strategi musuh supaya kita tidak terjerat di era Post Truth.

Politik menipu Era Post Truth

Sebelum ini juga, saya ada menceritakan era globalisasi ciptaan Amerika [2] pasca Perang Dingin. Era dunia tanpa sempadan ini menyaksikan bagaimana kemunculan internet menguasai dunia tanpa dibatasi oleh sempadan geografi. Jaringan seluruh dunia dibangunkan bagi mewujudkan perang maya [3]. Teknologi lebih tertumpu kepada dimensi maya berbanding dengan pertempuran fizikal.

Dalam masa yang sama, wujudnya gejala Hoax iaitu olok-olok dan populism yang boleh diertikan sebagai kewayangan atau lakonan atau pementasan. Kesemua istilah ini berkait rapat dengan Post Truth yang digunakan secara meluas hari ini. Seolah-olah menjadikan pemerintahan negara itu adalah mainan. Beginilah sepertimana yang dimasyhurkan oleh Donald Trump pada 2016.

Sejak mula Donald Trump menjadi Presiden lagi pada 2016, tindakannya lebih merupakan tindakan sensasi selebriti Apparentice yang dilihat bermain dengan rancangan realiti televisyen. Hari ini ternyata Trump menjadikan Amerika bahkan seluruh dunia sebagai rancangan realiti televisyennya. Seolah-olah virus Post Truth telah menjadikan rakyat Amerika hanya sebagai ‘binatang’ yang tidak mampu berfikir secara rasional

Rakyat Amerika lebih suka memilih maklumat yang ‘sensasi’ berbanding fakta-fakta kebenaran yang bertimbun-timbun. Seolah-olah memilih sensasi berbanding kebenaran, sekalipun ia adalah suatu pembohongan. Dengan kata lain, pembohongan itu apabila disensasikan, ia lebih laris dan disukai, berbanding fakta dan kebenaran yang tidak disensasikan. Inilah yang dikatakan sebagai politik populism.

Era Post Truth ini, umat Islam perlukan kecerdikan, bukan hanya menerima maklumat bulat-bulat, bahkan menggunakan akal dan pemikiran untuk mengkaji dan sentiasa berwaspada terhadap strategi pendekatan musuh [4]. Mengkaji dan meneliti strategi musuh merupakan sunnah. Lihatlah di dalam sirah Nabi Muhammad S.A.W menghantar agen-agen untuk menyiasat mengenai kekuatan musuh.

Populism, normalisasi dan pembohongan

Penyakit Populism sama parahnya, apabila ‘lakonan’ itu dianggap realiti dan dijadikan fakta. Maka Menteri-menteri hari ini mengambil langkah dengan ‘berlakon’ untuk meraih minat dan pengaruh. Antara lakonan yang masyhur ialah dengan menitiskan air mata di atas pentas. Inilah kebodohan era Post Truth. Menteri yang berlakon baik di kala pilihan raya dan juga manifesto hancing kedua-duanya berkait dengan Populism.

Budaya normalisasi pembohongan semakin giat dipopularkan. Sebagai contoh, Menteri-menteri sudah ‘tiada masalah’ sekiranya berbohong di Parlimen sekalipun. Contoh yang lain, Akta Anti Berita Tidak Benar juga cuba dimansuhkan dan ia dianggap sebagai satu perkara normal. Rangkaian-rangkaian istilah ini muncul di era Dajjal, yang bermula dengan globalisasi yang mencatur propoganda bagi menguasai minda.

Penguasaan minda jelas merupakan bentuk penipuan atau lebih jernih dinamakan manipulasi. Pasca PRU14 menyaksikan bahawa ‘orang menipu boleh menang’ [5]. Kemenangan yang tertegak atas dasar penipuan yang merupakan manipulasi minda, dibantu dengan media yang berperanan sebagai alat propoganda. Mereka yang bodoh sahaja merasa nikmat dengan penipuan dan ‘penggula-gulaan’ ahli politik.

Era ini menyaksikan dua jenis golongan yang benar, iaitu orang yang benar dan cerdik, satu lagi orang yang benar tetapi bodoh. Orang yang benar tetapi bodoh ialah mereka yang mudah tertipu, dan berulang kali ditipu. Realiti inilah yang terjadi di Malaysia sehingga sekarang. Seolah-olah kita boleh sahkan bahawa era kemenangan PH merupakan era Post Truth di Malaysia.

Kalau zaman BN dikatakan era benar-benar melakukan kezaliman, hari ini pula adalah ‘era penipuan’ untuk melakukan sebenar-benar kezaliman. Realiti umat Islam apabila ‘tidak cerdik’ dengan permainan musuh, maka umat Islam akan terus menerus ditipu dan diperbodohkan untuk menjayakan agenda musuh [6]. Inilah yang dinamakan jerat Post Truth Politics yang menjadikan penipuan itu sebagai inti dalam politik dan kenegaraan.

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1193228667537271&id=251201991739948

[2] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1206540146206123/

[3] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1191125067747631/

[4] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1186814924845312&id=251201991739948

[5] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1202310679962403/
[6] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1188987551294716/

HARAKAHDAILY 17/10/2019

- Advertisement -