SEREMBAN: Cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mewajibkan pengambilan sijil Halal adalah untuk mengelakkan normalisasi banyak restoran bukan-Islam yang tidak menjual babi tetapi sekadar meletakan label ‘no pork, no lard’.
Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Mahfuz Roslan berkata, tindakan tersebut telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam bagi memastikan makanan di sesuatu restoran itu benar-benar halal di sisi Islam.
Namun tambah beliau, tindakan Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim yang secara terburu-buru mengecam cadangan tersebut dilihat sebagai sesuatu yang tidak wajar sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.
“Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan (DPPNS) hairan dengan reaksi beliau yang terlalu agresif bahkan ibarat melatah, sedangkan cadangan itu belum lagi menjadi kenyataan bahkan masih di peringkat kajian.
“Reaksi sebegini memberi gambaran bahawa beliau terlalu sensitif dengan apa jua cadangan yang membawa kebaikan kepada umat Islam. Dakwaan beliau bahawa kenyataan beliau telah disalah erti hanyalah satu alasan,” katanya.
Jelas Ustaz Mahfuz, pensijilan Halal adalah satu pendekatan yang sangat mesra perniagaan bagi memastikan tanggungjawab pengguna beragama Islam mencari yang halal dapat terlaksana.
Menurutnya lagi, tanpa pensijilan Halal, adalah sukar bagi umat Islam untuk memastikan makanan yang dijual itu terjamin keharusan halalnya.
“Teresa harus sedar bahawa tanpa pensijilan Halal, umat Islam akan rasa teragak-agak untuk memasuki restoran yang dimiliki oleh bukan-Muslim.
“Namun, konsep halal itu adalah rentas agama di mana umat Islam boleh sahaja makan di restoran milik golongan bukan-Muslim asalkan mematuhi standard halal yang ditetapkan,” katanya.
Kata Ustaz Mahfuz, ada sesetengah restoran yang menggunakan taktik meletakkan label ‘no pork, no lard’ atau menggunakan pelayan bertudung litup bagi memberi gambaran bahawa perniagaan mereka adalah halal untuk menarik pelanggan beragama Islam.
“Fenomena ini telah menyebabkan normalisasi ketidakperluan kepada sijil Halal oleh para pemilik restoran kerana pengguna beranggapan bahawa restoran itu telah halal kerana tiada disediakan daging babi.
“Sedangkan hakikatnya standard halal tidak terhenti setakat penyediaan daging babi sahaja. Pematuhan Halal sebenarnya meliputi aspek lain juga.
“Sebagai contoh penyembelihan haiwan mengikut kaedah Islam, tiada percampuran dengan daging yang tidak halal dalam rantaian logistik, dan aspek kebersihan premis,” jelasnya.
Menurut beliau, normalisasi itu boleh mengakibatkan hasrat Malaysia untuk menjadi hab halal dunia akan terbantut.
“Malaysia perlu sentiasa teguh dengan hala tuju ini memandangkan populasi Muslim sedunia yang kini berada di paras 25 peratus dijangka akan mencecah 35 peratus dalam 10 tahun lagi.
“Status Malaysia sebagai negara contoh dalam industri halal akan menjadikan Malaysia sebagai antara pilihan utama para pelancong Muslim,” katanya.
Justeru katanya, bagi memastikan Malaysia terus terkehadapan dalam industri halal, cadangan JAKIM untuk mengkaji kaedah mewajibkan sijil Halal bagi restoran sebegini adalah sangat dialu-alukan.
“Pastinya kajian ini mempunyai niat yang murni. Namun, JAKIM dalam menyediakan kertas cadangan itu perlulah memastikan restoran-restoran ini mampu untuk memenuhi kriteria yang ditetapkan.
“Ini kerana standard yang ditetapkan oleh JAKIM itu merupakan standard yang sangat ketat dan kadang-kadang memerlukan kos yang tinggi khususnya apabila melibatkan ubahsuai premis,” katanya.
Jelas beliau, terdapat beberapa kaedah diutarakan dan boleh dipertimbangkan oleh JAKIM antaranya standard yang lebih longgar bagi sijil Halal dan memperkenalkan sijil Toyyiban untuk perniagaan yang mencapai standard Halal sekarang.
Tambahnya, JAKIM juga boleh mencadangkan agar kerajaan memberikan insentif bagi perniagaan SME untuk mendapatkan sijil Halal sebagai contoh dalam bentuk subsidi ubah suai premis atau pelepasan cukai.
“Ringkasnya, hasrat JAKIM ini perlu dilihat dalam perspektif inovasi yang perlu dialu-alukan. Proses libat urus dan tadbir urus melibatkan pemain industri, kementerian dan kabinet pastinya akan dipatuhi oleh JAKIM sebelum ianya dilaksanakan.
“Tidak perlulah Teresa Kok terlalu agresif terhadap idea yang masih di peringkat kajian lagi,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi DPPNS semalam. – HARAKAHDAILY 10/9/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!