Politik sebagai ladang pahala 

- Advertisement -

ADA orang menggambarkan politik itu kotor … 

- Advertisement -

Atas alasan kerana dipenuhi oleh manusia jijik yang opportunis, Machiavelli, rakus, gila kuasa dan licik… 

Tidak kurang juga dengan medan politik dikerumuni oleh segerombolan para pengampu yang menjilat-jilat kasut sang penguasa demi mendapatkan tulang dan lebihan sisa makanan …

Manusia yang menjadikan politik sebagai batu loncatan mereka mencapai cita-cita peribadi yang kotor tanpa pertimbangan pahala dosa inilah menjadi pewaris Namrud, Firaun, Haman, Abu Jahal dan lain-lain …

Namun jangan dilupa bahawa perjuangan para Anbiya yang disempurnakan oleh Rasulullah صلى الله عليهم وسلم merupakan perjuangan dakwah Islam di jalur politik yang menentang rejim penguasa zalim …

Kemudian disambung legasi mereka oleh sistem pemerintahan minhaj nubuwwah oleh khulafa’ rasyidin, Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, Saidina Ali dan Saidina Hasan, radhiyal-LAHU ‘anhum.

Selepas inisiatif rundingan muafakat Saidina Hasan dengan seteru politik ayahandanya, sistem dan pengamalan politik Islam dikotorkan oleh perubahan drastik sistem mulkan ‘addhan dan mulkan jababirah yang mencacatkan wajah sejarah politik umat Islam, melainkan segelintir penguasa yang bertaqwa yang berusaha membuat islah.

Selepas peristiwa hitam berdarah Karbala pada 10 Muharram, satu-satunya waris Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang terselamat melalui jalur keturunan Saidina Husain iaitu Imam Ali Zain al-Abidin, merintis strategi islah bagi menyelamatkan umat nendanya daripada kehancuran dan kesesatan seperti yang berlaku kepada kaum Bani Israil selepas kewafatan para Nabi mereka yang mempunyai kuasa politik berdaulat.

Apabila kuasa politik terlucut daripada tangan pewaris khilafah rasyidah yang mengikuti minhaj nubuwwah, beralih ke tangan haiwan politikus, Imam Ali Zain al-Abidin mengambil inisiatif dengan menggerakkan islah umat secara bottom up, melalui 2 cabang iaitu islah siyasi yang diberi peranan kepada anakandanya Imam Zaid yang mendapat sokongan moral dan material daripada Imam Abu Hanifah Nu’man bin Thabit, imam besar mazhab Hanafi.

Peranan islah cabang kedua ialah islah bidang keilmuan dan sosial yang dimainkan oleh anakandanya juga iaitu Imam Muhammad al-Baqir, yang turut mendapat sokongan sama ada secara terang-terangan ataupun sembunyi, daripada imam-imam mazhab muktabar Ahli Sunnah wal Jama’ah.

Perlu saya jelaskan, bahawa umat Islam salafus shalih bersama mendukung perjuangan politik Islam khulafa’ rasyidin yang peranannya disambung oleh Imam Zain al-Abidin, Imam Zaid, Imam Muhammad al-Baqir yang berkesinambungan terus menerus hingga ke hari kiamat.

Pada ketika kurun salafus shalih itu tiada istilah konflik, konfrontasi ataupun doktrin Sunni-Syiah-Wahabi sempit sebagaimana yang difahami oleh golongan khalaf sekarang ini.

Pecahan kumpulan umat Islam yang ada pada ketika itu ialah:

1) Kumpulan yang istiqamah bersama al-Jamaah yang meneruskan perjuangan legasi Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang dipimpin oleh imam-imam Ahlilbait dan didukung oleh golongan tabi’in dan tabi’ tabi’in bi ihsan ila yaumid Din.

2) Kumpulan yang menyeleweng daripada sunnah Rasulullah صلى الله عليه و سلم dan sunnah Khulafa’ Rasyidin seperti kumpulan Nashibah penentang sistem politik khilafah rasyidah dan penyokong fanatik rejim berkuasa dan kumpulan Rafidhah yang menolak inisiatif islah siyasi.

3) Kumpulan Munafik yang memusuhi Islam yang mengambil pendekatan infiltrasi, menyelinap masuk ke dalam 2 kumpulan di atas untuk merosakkan sistem Islam dan melaga-lagakan kesatuan saf umat Islam melalui strategi “divide and rule” sehingga umat berpecah belah dan sukar untuk kembali bersatu padu.

Imam Ali Zain al-Abidin, walaupun dikenakan sekatan dan pengawasan politik yang amat ketat oleh rejim penguasa, namun begitu beliau tetap mampu menabur jasa yang dikenang oleh rakyat marhein yang susah.

Setelah kembalinya Zain al-Abidin ke rahmatul-LAH, rumah-rumah orang miskin yang selama ini mendapat bekalan makanan tetapi tidak diketahui siapakah penyumbangnya, tiba-tiba sahaja bantuan itu terputus.

Lalu mendapat tahulah mereka bahawa individu majhul yang menjaga kebajikan rakyat marhein secara diam-diam itulah rupa-rupanya Imam Zain al-Abidin radhiyal-LAHU ‘anhu.

{ وَیُطۡعِمُونَ ٱلطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ مِسۡكِینࣰا وَیَتِیمࣰا وَأَسِیرًا (8) إِنَّمَا نُطۡعِمُكُمۡ لِوَجۡهِ ٱللَّهِ لَا نُرِیدُ مِنكُمۡ جَزَاۤءࣰ وَلَا شُكُورًا (9) إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا یَوۡمًا عَبُوسࣰا قَمۡطَرِیرࣰا (10) فَوَقَىٰهُمُ ٱللَّهُ شَرَّ ذَ ٰ⁠لِكَ ٱلۡیَوۡمِ وَلَقَّىٰهُمۡ نَضۡرَةࣰ وَسُرُورࣰا (11) وَجَزَىٰهُم بِمَا صَبَرُوا۟ جَنَّةࣰ وَحَرِیرࣰا (12) }

[Surah Al-Insān: 8-12]

8- Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan,

9- (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana ALLAH semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih,

10- “Kami sebenarnya takutkan TUHAN kami, takut DIA kenakan kami azab hari yang padanya muka orang yang bersalah: masam berkerut-kerut”.

11- Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka ALLAH selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati).

12- Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan ALLAH dan meninggalkan larangan-NYA), mereka dibalas oleh ALLAH dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera.

Inilah politik Islam yang golongan Sekularis pemisah agama daripada kehidupan manusia ini pura-pura membutakan mata dan bermati-matian menyekat peranan pewaris perjuangan sunnah para Anbiya’ dan mematikan karektor mereka agar luput daripada ingatan umat.

Namun bagi orang Islam yang mengharapkan pertemuan dengan ALLAH subhanahu wa ta’ala, jalan politik ini merupakan ladang amalan yang membekalkan pahala di Akhirat kelak.

Apabila seseorang itu meninggal dunia, kemudian disaksikan oleh sekelian manusia beriman bahawa dia dahulunya seorang yang sholeh dan baik, maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: وجبت.

Iaitulah wajib baginya syurga. 

Kesaksian ini berlaku setelah seseorang itu meninggal dunia, bukan pengakuan semberono daripada haiwan politikus yang mendakwa bahawa dia dan kumpulannya masuk Syurga lebih awal daripada orang lain!

Ahli gerakan politik Islam boleh menyenaraikan sejumlah nama yang apabila disebut biodata mereka maka akan terserlah segala manaqib kebaikan mereka.

Semoga Allah S.W.T merahmati Abang Zam dan memberi taufiq hidayah dan kekuatan kepada Abang Abidin untuk meneruskan legasi perjuangan Islam.

Tarbiah gerakan Islam mengingatkan bahawa jawatan itu ialah taklif, bebanan tanggungjawab, bukannya tasyrif, kemuliaan untuk sanjungan.

Tahniah kepada Perikatan Nasional di atas kemenangan mempertahankan DUN Sungai Bakap pada awal Muharram 1446 hijrah.

USTAZ MUHAMMAD RIFAAT RAZMAN
Pengerusi Lajnah Dakwah Dewan Ulamak PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 7/7/2024

- Advertisement -