TG Jaliluddin Melaka kembali ke rahmatullah

- Advertisement -

TANGGA BATU: Tokoh ulamak PAS Negeri Melaka, Tuan Guru Jaliluddin Abdul Wahid telah kembali ke rahmatullah pada usia 87 tahun kerana sakit tua di Sungai Udang, di sini hari ini.

- Advertisement -

Menurut anak Allahyarham, Ahmad Farhan Jaliluddin, 47, ayahnya itu dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Udang kerana pernafasannya terhenti sekitar jam 8:00 pagi tadi.

“Ayah saya sudah dua hari tak selera makan. Tak nak makan. Selalu memang dia makan nasi. Sebab tak selera makan, saya belikan roti. Roti pun dia tak nak makan.

“Kemudian pagi tadi dalam pukul 8:00 pagi tadi nafas dia terhenti. Kita bawa dia pergi Klinik Kesihatan Sungai Udang. Pukul 10 pagi tadi ayah saya disahkan meninggal,” katanya.

Jelas Farhan, ayahnya itu tidak menghidap apa-apa penyakit kritikal dan cuma menghidap penyakit gout sementara kematiannya disahkan kerana sakit tua.

Katanya, solat jenazah dijangka akan dilakukan selepas waktu Asar di Masjid Tun Abdul Ghaffar Baba, Sungai Udang dan dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran.

Tuan Guru Jaliluddin yang dilahirkan di Kampung Paya Rumput, Sungai Udang, Melaka pada tahun 1937 ini adalah merupakan seorang tokoh ulama yang tidak asing lagi di negeri Melaka ini.

Beliau juga adalah merupakan penerus kepada legasi ayahanda beliau Almarhum Mu’alim Tuan Guru Abdul Wahid yang merupakan tokoh ulama tersohor di negeri Melaka.

Tuan Guru Abdul Wahid telah mengasaskan sekolah agama rakyat, Sekolah Rendah dan Menengah Agama An-Nuriah di Sungai Udang Melaka pada tahun 1940-an.

Ayahnya yang terkenal dengan panggilan Mu’alim Tuan Guru Haji Abdul Wahid Sungai Udang adalah merupakan salah seorang anak Melaka yang menjadi murid Tok Kenali, tokoh ulama tersohor dari Kelantan.

Tuan Guru Jaliluddin mendapat pendidikan awal daripada ayahnya selama beberapa tahun dan kemudian menyambung pengajiannya di Universiti Baghdad, Iraq sekitar tahun 1960an.

Selain berguru dengan almarhum bapanya sendiri, beliau juga pernah berguru dengan Syeikh Muhammad Mahmud Assawaf, pengasas Ikhwan di Iraq dan juga Syeikh Amjad al-Zahawi.

Antara rakan-rakan beliau yang sama-sama menuntut ilmu bersama beliau ialah mantan Pengerusi ABIM Perlis, Ustaz Dahlan Muhammad Zain dan mantan Pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya, Ustaz Abdul Rahim Muhammad Zain.

Juga mantan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Almarhum Tuan Guru Muhammad Daud Iraqi dan mantan Naib Presiden PAS, Almarhum Tuan Guru Haji Hassan Shukri.

Selain, Mursyidul Am PAS (sehingga kini) Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin serta Tuan Guru Haji Abdul Ghani Kasa dan ramai lagi tokoh-tokoh terkenal.

Selesai menuntut ilmu di Iraq, Tuan Guru Jaliluddin pulang ke tanah air pada tahun 1970-an dan berkhidmat sebagai penterjemah di bahagian penyiaran dan penterjemahan radio luar negeri di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Selepas itu, Almarhum ayahnya memanggil beliau pulang ke kampung halaman agar dapat membantu menguruskan pondok Madrasah an-Nuriah yang diasaskan Almarhum.

Atas sifat taatnya beliau pada ayahnya, Tuan Guru Jaliluddin terus membakar sijil-sijil pengajian beliau kerana ingin menumpukan terus pada pengajaran di pondok, begitulah kuatnya pergantungan kepada Allah Taala.

Selepas ayahnya, Tuan Guru Abdul Wahid kembali ke rahmatullah pada tahun 1990, beliau seterusnya menjadi mudir Madrasah An-Nuriah pada tahun 1992 dan menetap di sebuah rumah di hadapan madrasahnya itu sehingga ke hari ini.

Beliau pernah diamanahkan sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka dan juga sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, malah merupakan pesuruhjaya paling lama memegang jawatan itu di Melaka setakat ini.

Beliau juga pernah dianugerahkan Pingat Bintang Cemerlang Melaka (BCM) sempena sambutan Hari Jadi yang ke 71 Yang Dipertua Negeri Melaka dan anugerah Tokoh Ulama Mithali 2017. – HARAKAHDAILY 5/7/2024

- Advertisement -