Allah uji manusia dengan bala

Banjir besar yang dahsyat merupakan salah satu cara Allah dalam menguji manusia yang menjalani kehidupan di dunia. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Allah akan menguji dengan bala antaranya berdepan dengan kemarau panjang, banjir besar, ribut taufan, harga barang mahal serta ekonomi meleset apabila ada kejahatan dalam masyarakat.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, orang beriman mestilah ingat kepada Allah, sebab ini adalah antara hukuman-Nya dan disebut dalam kitab, antara sebab harga barang mahal, ekonomi meleset dan susah nak dapat makanan adalah kerana kejahatan pemerintah. 

- Advertisement -

“Nabi menyebut, kalau tidak kerana binatang, tumbuhan dan budak menyusu, Allah akan menurunkan yang lebih berat lagi. Allah kesian terhadap binatang sebab kalau tiada air, macam mana ia nak hidup? Tidak boleh nak menggali telaga atau buat aduan. 

“Apabila berlaku sebegini, selain daripada ikhtiar secara fizikal, orang-orang yang beriman mestilah memperbanyakkan doa dan istighfar. Kadang-kadang, bala yang turun kepada diri kita sendiri dalam bentuk penyakit atau masalah kehidupan adalah kerana dosa kita yang kita tidak sedari. 

“Mintalah ampun dengan Allah. Semoga terbuka laluan. Sebab kita tidak tahu apa perkara yang salah. Kita berasa tiada apa-apa. Tetapi, bagi Allah, apa yang kita lakukan itu salah.

“Kadang-kadang, kita orang biasa yang solat lewat, tidak berasa apa-apa sebab bagi kita, tidak mengapalah asalkan solat. Tetapi, bagi Allah, perangai kita itu tidak baik. Ralit main haji, berbual-bual, WhatsApp, TikTok sehingga nak habis waktu solat barulah nak solat,” ujar beliau dalam media sosial miliknya hari ini.

Bagi orang Islam tambahnya, mungkin biasa asalkan masih dalam waktunya kerana di luar waktu adalah haram, tetapi dalam pertimbangan Allah, perbuatan kita itu tidak betul. 

Oleh sebab itu menurutnya Allah memberi hukuman dengan penyakit atau apa-apa kesusahan dan kata ulama, ubat yang paling mujarab ialah istighfar.

“Nabi Yunus A.S dihukum oleh Allah dengan dimasukkan ke dalam perut ikan. Ia disebabkan oleh kesilapannya yang meninggalkan kaumnya. 

“Akhirnya, Allah menghukumnya. Setara Nabi pun dihukum. Baginda berdoa dan meminta ampun serta mengaku bahawa dirinya telah melakukan kezaliman. Sebab meninggalkan kaumnya sebelum cukup tempoh dan tidak yakin dengan pertolongan-Nya,” jelas beliau.

Dalam pada itu menurut beliau, bala Allah, apabila turun, semua akan terkena walaupun orang baik, tetapi kalau duduk di tempat yang tidak sepatutnya, akan terkena jua.

“Cara nak mengelak diri daripada terkena bala adalah dengan melaksanakan amar makruf nahi mungkar atau berdakwah.

“Kalau nampak perkara yang tidak baik, kita perlu menegur dan tidak membiarkannya. Kalau tidak mahu mendengar, itu cerita lain. Ambillah usaha setakat mana yang kita mampu. 

“Kalau boleh mengambil tindakan, ambillah, kalau tidak, nak buat macam mana kan. Yang penting kita berusaha kerana nak menyelamatkan diri kita esok-esok. 

“Kalau kita membiarkan kejahatan terus berlaku dalam kampung, bala turun, dengan kita sekali terkena. Tetapi, kalau kita pakat berusaha, Insya-Allah bala tidak akan turun,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/6/2024

- Advertisement -