Ulangi kemenangan PN di Sungai Bakap – TG Hashim Jasin

- Advertisement -

KANGAR: PERIKATAN NASIONAL (PN) perlu mengulangi kemenangan di kerusi N.20 DUN Sungai Bakap pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti bagi mengimbangi kedudukan politik di Pulau Pinang yang diperintah DAP.

- Advertisement -

Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berharap PAS sekiranya diberi peluang untuk mewakili PN sekali lagi pada PRK itu akan meraih perolehan majoriti undi untuk kemenangan di kerusi tersebut.

“Kita nak imbangkan kedudukan politik terutama di Pulau Pinang yang selama ini diperintah oleh DAP dan banyak karenah DAP itu yang menyentuh hati kecil orang Islam di sana.

“Maka kita perlu ada suara-suara membela Islam di Pulau Pinang itu sendiri,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS), di sini semalam.

Tuan Guru Hashim juga turut menyeru kerjasama daripada seluruh jentera PN agar menumpukan sepenuh perhatian pada gerak kerja bagi mengulangi kemenangan tersebut.

“Saya harap, tenaga yang ada akan terus membantu dan memberi sokongan kepada calon yang dipilih.

“Amat kita harapkan juga kerjasama daripada penyokong sahabat kita akan turun habis-habisan membantu kemenangan calon kita,” ujarnya lagi.

Pada PRU15 lalu, PN yang diwakili PAS memperoleh kemenangan mudah dengan majoriti 1,563 undi selepas mendapat undian 15,433 mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR.

Namun, pada 24 Mei lalu, ADUN Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya kerana mengalami komplikasi di bahagian perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sehubungan itu menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN tersebut pada 6 Julai depan, manakala penamaan calon pada 22 Jun dan undi awal ditetapkan pada 2 Julai. HARAKAHDAILY 7/6/2024

- Advertisement -