Tadbir 4 negeri, ahli PAS perlu pertahan budaya infak

Wan Rohimi Wan Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Ahli dan pendukung PAS hendaklah mengelak mengulangi budaya tidak berminat infak selepas memiliki kuasa politik dengan mentadbir empat negeri sekarang.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud berkata, budaya infak dianggap semakin pudar dan suram setelah PAS menerajui Terengganu, Perlis dan Kedah termasuk hampir 34 tahun di Kelantan.

Sedangkan, ujarnya sebelum tahun 1990-an nilai tersebut menjadi teras keutuhan dan kekuatan PAS untuk berhadapan situasi politik ketika itu.

Akibat gejala itu kata beliau, hasrat PAS Pusat untuk membina sebuah Kompleks PAS Pusat di atas tanah seluas lima ekar di Pinggiran Putra berhampiran Putrajaya agak terbantut.

“Kita bimbang budaya itu semakin lama semakin pudar. Kalau di kampung penghulu, ahli majlis daerah nampak kurang semangat nak keluar infak kepada parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada ceramah isu-isu semasa di Madrasah Raudah al Quran al Umari di Kampung Cherang Pulai Chondong dekat sini, semalam.

Turut hadir Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, ADUN Pulai Chondong, Ustaz Azhar Salleh dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Pengerusi Lajnah Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat itu berkata lagi, budaya tersebut pernah berlaku kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) selepas kemuncak pemerintahan diterajui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Selepas era tersebut katanya, mula berlaku penyakit dikenali ‘politik wang’ mengaburi mata ahli dan pimpinan tertinggi parti sehingga parti itu ditolak rakyat pada pilihan raya tahun 2018.

“Ini menyumbang kepada keruntuhan Umno dan BN, jadi saya nak bagitahu kita di Kelantan ini sudah 34 tahun membina kerajaan, kita jangan ulangi kesilapan dilakukan Umno dan BN,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/5/2024

- Advertisement -