WASALAM semarakkan Aidilfitri bersama Orang Asal

- Advertisement -

PARIT: Program Riang Ria Syawal bukan sahaja merai serta menyemarakkan suasana Aidilfitri, sebaliknya pelbagai aktiviti sampingan lain juga dilaksanakan kepada pengunjung di Pos Kampung Suak Padi, di sini semalam.

- Advertisement -

Pertubuhan Sayang Wanita Malaysia (WASALAM) menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan dan pemeriksaan mata percuma, cabutan bertuah selain persembahan kanak-kanak di dalam penganjuran ini.

Penasihat WASALAM, Ustazah Nuridah Mohd Salleh pada ucapannya kepada penduduk kampung yang kebanyakannya terdiri daripada Orang Asal menyentuh mengenai amalan dan ibadah sebagai seorang Muslim.

Beliau menyarankan kepada hadirin agar istiqamah dengan amalan-amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan lalu untuk ia menjadikan rutin seharian kehidupan.

“Teruskan amalan-amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan hingga ke bulan-bulan seterusnya, selain menjaga solat dengan sebaiknya,” nasihat beliau.

ADUN Bota, Dr Najihatussalehah Ahmad dalam pada itu mengharapkan program tersebut bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan siratulrahim tetapi juga dapat meningkatkan kesedaran dan kesejahteraan dalam kalangan komuniti.

“Yang hadir pada program ini bukan sahaja penduduk di Pos Kampung Suak Padi tetapi juga beberapa kampung penduduk asal berdekatan yang beragama Islam,” katanya.

Program Riang Ria Syawal itu juga diadakan dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Bota dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) ERAT dan WARIS.

Pengerusi WASALAM, Rohaya Ahmad bersama Ahli Jawatankuasa beliau turut hadir menyantuni penduduk.- HARAKAHDAILY 3/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!