Ketepi perbezaan politik, tumpu kebajikan rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan meneruskan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan demi kebajikan dan kepentingan rakyat.

- Advertisement -

Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kesinambungan erat antara Kelantan dan Pusat diteruskan sejak era Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob.

“Bagi saya berpolitik pada pilihan raya sahaja dan saya telah sebut perkara itu kepada Perdana Menteri.

“Kita diberi mandat oleh rakyat maka kita (kerajaan) perlu memberi yang terbaik kepada mereka,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Aidilfitri Madani di Pusat Transformasi Luar Bandar di sini malam tadi.

Program itu dirasmikan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Hadir sama beberapa menteri kabinet dan pegawai kerajaan Pusat serta negeri.

Mohd Nassuruddin juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas kerjasama baik yang diberi demi kepentingan rakyat Kelantan.

Menurutnya kerjasama baik itu menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

Beliau juga berkata, kehidupan rakyat berbilang kaum di Kelantan tidak pernah berlaku perbalahan biarpun bukan Melayu merupakan golongan minoriti.

Sementara itu Anwar berkata, perbezaan politik perlu diketepikan sebaliknya memberi tumpuan kebajikan rakyat. – HARAKAHDAILY 3/5/2024

- Advertisement -