ADA orang nak letak beban kegagalan kerajaan di bahu saya. Tak apa, saya jawab.
Pertamanya, kalau kerajaan betul-betul prihatin kepada rakyat, pastikan bekalan beras dan barangan keperluan lain mencukupi dan tersedia di pasaran. Pastikan seluruh lapisan masyarakat ada akses.
Bukan hanya di kanopi-kanopi Jualan Rahmah di sesetengah tempat, untuk hanya sebilangan ahli masyarakat.
Bukan meminta rakyat beratur, berebut mendapatkannya. Bukan siapa cepat dia dapat.
Keduanya, kenapa pula siri jualan murah barangan keperluan begitu ditumpukan di DUN Pelangai sekarang ini?
Jualan Rahmah, Jualan Makmur diadakan dari satu kawasan ke satu kawasan selang beberapa hari.
Adakah ia betul-betul kerana rasa prihatin kepada rakyat yang kian terbeban dengan kos sara hidup atau strategi memancing undi?
Saya ulang! Kalau benar-benar prihatin, pastikan bekalan mencukupi di seluruh negeri dan kadar harga diurus sewajarnya. Bagi saya itulah konteks dan tafsiran sebenar sebuah negeri yang makmur dan kerajaan yang rahmah.
Ketiga, sebelum ini Pusat Khidmat DUN Beserah usahakan program bakul asnaf. Kami manfaatkan sedikit peruntukan yang diterima untuk beri perhatian kepada masyarakat kurang bernasib baik selain untuk tujuan-tujuan kepentingan awam lain.
Yang gaji tak banyak, yang sakit terbaring, yang anak ramai, yang susah. Untuk pastikan dapur mereka ada bekalan makanan. Untuk ringankan beban perbelanjaan mereka.
Kira-kira dua tahun, lebih 200 keluarga seluruh DUN Beserah dapat manfaat daripada program ini. Kami belanjakan sekitar RM10,000 ke RM12,000 sebulan untuk biayai program ini.
Sekarang terpaksa dihentikan. Dah hampir setahun. Kenapa? Peruntukan dihentikan oleh Kerajaan BN-PH. Kos program pula makin tinggi sebab harga barang makin naik.
Di kawasan-kawasan yang BN-PH kalah, mereka lantik Penyelaras DUN di kalangan orang-orang mereka. Peruntukan yang sepatutnya disalur kepada ADUN pembangkang dialih kepada para Penyelaras DUN lantikan mereka ini.
Ke mana mereka belanjakan peruntukan tersebut?
Ada mana-mana masjid, surau, sekolah, perwakilan atau persatuan penduduk, kelab, pertubuhan sosial, anak-anak pelajar, anak yatim, ibu tunggal, keluarga B40, mereka yang kematian, kemalangan ahli keluarga terima sumbangan daripada peruntukan ini?
Kalau ada, syukur Alhamdulillah. Kalau tiada, saya nasihatkan pikul beban amanah itu baik-baik. Kerana lawan amanah adalah khianat.
YB ANDANSURA RABU
ADUN Beserah – HARAKAHDAILY 28/9/2023
Kerajaan gagal tangani isu beras, orang lain disalahkan
- Advertisement -