Isu royalti: Akta 750 patutnya tak dapat berkuat kuasa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) yang diluluskan Parlimen tidak mendapat kelulusan Majlis Raja-Raja dan tidak pernah diluluskan oleh negeri, demikian menurut Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof.

Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) di Pusat Kajian Fiqh, Sains dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia itu berkata, bahkan ada beberapa negeri, termasuklah Kelantan, Sabah dan Terengganu secara jelas menolak akta ini.

Beliau memberi pandangan dalam mengulas penafian hak ke atas hasil petroleum sebanyak 5 peratus kepada Kelantan dan Terengganu kerana dikatakan tidak berada dalam medan pengeluaran berdasarkan Akta 750 itu.

Menurut petikan Seksyen 3 (3) Akta Laut Wilayah 2012 ada menyatakan bahawa bahagian laut yang berdampingan dengan pantai wilayah itu tidak melebihi 3 batu nautika diukur dari garis air surut.

“Tafsiran ini (garis air surut dan bakinya sehingga 12 batu nautika itu dan juga Zon Ekonomi Eksklusif itu di bawah Kerajaan Persekutuan), jika diterima pakai, bermakna kita telah mengecilkan sempadan negeri.

“Pengecilan sempadan negeri ini tidak boleh dilakukan melainkan berdasar kepada peruntukan Perlembagaan yang menetapkan bahawa ia hanya boleh dibuat melalui kelulusan oleh Negeri, terutamanya Dewan Undangan Negeri, dan juga kelulusan daripada Majlis Raja-Raja.

“Dan setakat ini kita tahu Akta Laut Wilayah yang diluluskan pada tahun 2012 ini tidak mendapat kelulusan Majlis Raja-Raja dan tidak pernah diluluskan oleh negeri, bahkan ada beberapa negeri, termasuklah Kelantan, Sabah dan Terengganu secara jelas menolak akta ini.

“Bermakna peruntukan yang dimaksudkan, iaitu Seksyen 3 (3) itu tidak dapat berkuatkuasa dan sempadan yang mengecilkan sempadan negeri itu tidak dapat berkuatkuasa,” ujarnya.

Oleh itu jelas beliau, masalah tersebut perlu kembali kepada sempadan asal sebagaimana sejak Merdeka di mana negeri mempunyai sempadan yang tidak ditentukan hadnya dari sudut perbezaan antara Negeri dan juga Persekutuan.

Terang Dr Fathi, bermakna ia menggunapakai prinsip yang digunakan berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa, iaitu pada 12 batu nautika dan selebihnya di bawah Zon Ekonomi Eksklusif.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa sebagai pembangkang pernah menyatakan komitmen dan menandatangani ikrar memberikan royalti petroleum sehingga 20 peratus kepada negeri-negeri berkaitan.

Bagaimanapun setelah ke jawatan tersebut, pembayaran sebanyak 5 peratus mengikut Perjanjian Pembayaran Wang Tunai yang ditandatangani antara Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan negeri-negeri terbabit tetap juga tidak ditunaikan.

Malah, pentadbiran Anwar juga bersandarkan Akta 750 tersebut sebagai alasan sama yang digunakan oleh pentadbiran Perdana Menteri Ke-6, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sepertimana juga dinyatakan dalam Sidang Parlimen.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan semalam menegaskan Akta 750 adalah sah dan terpakai di seluruh negara walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu memutuskan menolaknya.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, negeri itu menolak Akta 750 kerana ia membataskan hak negeri menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri, pada Sidang DUN Terengganu, Khamis lalu.

Ahmad Samsuri menegaskan, DUN Terengganu meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana dilihat tidak menepati syarat seperti mana yang ditetapkan di dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 28/4/2024

- Advertisement -