Terengganu usaha tingkat pengeluaran padi

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu berusaha untuk meningkatkan pengeluaran padi dengan beberapa strategi, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim.

- Advertisement -

Menurutnya, baruh padi Terengganu tidak luas berbanding Kedah iaitu hanya tinggal sekitar 11,000 hektar sahaja.

“Tapi Jelapang Padi Terengganu ialah kawasan pengeluaran padi per hektar kedua tertinggi di Malaysia dengan purata 5.2 mt/ha,” jelasnya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, persaingan menggunakan tanah tidak membolehkan negeri menambah banyak perluasan kawasan padi.

“Tapi kita boleh usaha untuk tingkatkan pengeluaran padi dengan beberapa strategi,” katanya.

Jelasnya, antaranya mengekalkan kawasan padi sedia ada dan tidak mudah meluluskan tukar syarat tanah padi untuk kegunaan lain.

Di samping itu, ujarnya meningkat pengeluaran per hektar di mana IADA Ketara Terengganu adalah kawasan pengeluar padi yang kedua tertinggi di Malaysia.

“Pembangunan infra, kerajaan negeri juga memperuntukan RM2.5 juta bagi projek pembangunan infrastruktur padi pada tahun 2021, RM700,000 pada 2022 dan RM6.6 juta bagi tahun 2023 dalam usaha memastikan infrastruktur sawah padi terutamanya sistem saliran dan pengairan serta jalan pertanian dilengkapi sebaiknya,” katanya.

Selain itu, jelasnya kawasan bertanam sekali setahun dijadikan dua kali setahun.

Belaiu berkata, ataranya Skim Padi Paya Dadong dan Skim Paya Paman di Kemaman, Skim Durian Mentangau Dungun dan beberapa kawasan di Skim Pengairan Batu Rakit yang dinaik taraf untuk bertanam dua kali setahun.

Dr Azman juga memaklumkan permohonan Terengganu untuk mendapatkan peruntukan bagi perluasan Jelapang Padi IADA Ketara daripada 5,000 hektar kepada 10,000 hektar telah mendapat kelulusan dasar di peringkat kementerian dengan siling peruntukan RM100 juta.

Jelasnya lagi, mencukupkan keperluan kilang padi yang mana di Besut yang merupakan jelapang padi utama negeri telah ada empat buah kilang yang beroperasi iaitu Kilang Bernas di Bukit Kenak, Jerteh, Kilang Konsortium LPP dan dua buah kilang milik swasta di Kerandang, berbanding dua buah kilang sahaja pada 2018.

“Ia sudah memadai dan mencukupi,” ujarnya yang juga ADUN Jabi. – HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -