Hamas tetap memilih jalan perundingan

Ismail Haniyeh yang kehilangan anak dan cucu yang syahid dalam serangan Israel, tenang menerima ucapan takziah.
- Advertisement -

DOHA/BAITULMAQDIS: Walaupun serangan Israel membunuh tiga anak lelakinya di Gaza, pemimpin kanan Hamas menegaskan bahawa pergerakan pejuang Palestin itu tetap mahukan perjanjian untuk gencatan senjata dan pembebasan tawanan.

Bercakap di Qatar ketika menerima ucapan takziah, Ismail Haniyeh berkata, “kepentingan rakyat Palestin diletakkan di atas segala-galanya” apabila ditanya sama ada serangan itu akan menjejaskan rundingan mengenai gencatan senjata dan pembebasan tawanan.

- Advertisement -

“Kami sedang berusaha untuk mencapai persetujuan, tetapi pendudukan (Israel) masih berlengah-lengah dan mengelak tindak balas terhadap tuntutan itu,” katanya.

Media Israel mendakwa bahawa serangan yang membunuh anak dan cucu Ismail, semalam, dilakukan tanpa kebenaran pimpinan tertinggi tentera atau pemimpin kanan negara itu. Ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan keluarga tawanan akan menggagalkan usaha untuk mendapatkan pembebasan mereka.

Kerajaan Israel menghadapi tekanan yang semakin meningkat daripada keluarga 133 tawanan Israel yang dipercayai masih berada di Gaza yang diperintah Hamas, walaupun rundingan yang Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar menjadi negara perantara masih belum mencapai kesepakatan.

“Kunci kepada mana-mana perjanjian dengan pendudukan (Israel) bermula dengan gencatan senjata kekal. Keutamaan kami dalam proses rundingan yang sedang berjalan ialah kepulangan tanpa syarat mereka yang kehilangan tempat tinggal dan penarikan sepenuhnya tentera dari Semenanjung Gaza,” kata jurucakap Hamas, Abdel-Latif al-Qanoua dalam satu kenyataan.

“Tanpa semua itu, perjanjian tidak akan berlaku,” katanya.

Kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menghadapi kritikan yang semakin meningkat dari sekutu utama, AS berhubung cara pengendalian kempen ketenteraan.

Ini menyebabkan peningkatan penduduk Palestin yang terbunuh dan terkini, serangan yang mengorbankan pekerja bantuan asing dan Palestin di Gaza.

Agensi berita Israel, Walla melaporkan bahawa Netanyahu mahu pun Menteri Pertahanan, Yoav Gallant tidak diberitahu lebih awal mengenai serangan ke atas anak lelaki Ismail yang diselaraskan oleh tentera Israel dan perkhidmatan perisikan Shin Bet.

Memetik pegawai kanan Israel, Walla melaporkan bahawa Amir, Mohammad dan Hazem, menjadi sasaran sebagai pejuang dan bukan kerana mereka adalah anak pemimpin politik Hamas.

Namun, tentera Israel tidak mengulas mengenai laporan bahawa empat cucu Haniyeh turut terbunuh dalam serangan itu.

Tentera Israel juga enggan mengulas mengenai laporan Walla dan laporan lain. Tiada ulasan diperoleh dari Pejabat Perdana Menteri.

Ismail memberitahu bahawa anak lelakinya bukan pejuang Hamas yang aktif. “Dakwaan itu adalah pembohongan untuk membenarkan jenayah dan pembunuhan beramai-ramai ini,” katanya.

“Mereka pergi pada Aidilfitri untuk menziarahi sanak saudara,” katanya.

Akhbar Israel, Hayom yang konservatif memetik pegawai tentera yang tidak dinamakan berkata, serangan itu dilakukan mengikut prosedur, tetapi menyatakan timbul persoalan sama ada sasaran sensitif demikian yang dilakukan tanpa berunding terlebih dahulu dengan pihak atasan.

Sementara itu akhbar sayap kiri, Haaretz, yang sering mengkritik Netanyahu dan kerajaannya, menggelar pembunuhan dan pembunuhan pegawai kanan Iran minggu lalu di kedutaan Iran di Damsyik sebagai “tindakan pencerobohan proaktif, direka untuk menggagalkan sebarang peluang perjanjian tawanan”.

Ketika konflik memasuki bulan ketujuh, terdapat sedikit tanda kemajuan dalam rundingan. Hamas menuntut serangan Israel dihentikan, pengunduran tentera Israel dan membenarkan penduduk Palestin di Gaza yang terpaksa berpindah pulang ke rumah mereka.

Israel pula mahu mendapatkan kembali tawanan, tetapi tidak akan menamatkan perang sehingga Hamas dimusnahkan sebagai pasukan tentera, dan masih merancang untuk menyerang bandar selatan, Rafah yang didiami lebih sejuta penduduk Palestin – REUTERS

- Advertisement -