DALLAS: Berjuta-juta orang di seluruh Amerika Utara menyaksikan bulan menutup matahari ketika gerhana matahari penuh, semalam.
Laluan keseluruhan gerhana meliputi Mazatlán di Mexico hingga Newfoundland, Kanada, kawasan yang merentasi 15 negeri Amerika Syarikat (AS) yang didiami kira-kira 44 juta orang.
Kebanyakan mereka yang berada di Amerika Utara, tetapi tidak berada di laluan geranan, masih dapat menyaksikan gerhana separa, dengan bulan mengubah matahari menjadi bulan sabit.
Kawasan pertama gerhana menyebabkan Pantai Mazatlán yang berkilauan berada dalam kegelapan sebelum bersambung ke timur laut di Eagle Pass, Texas, iaitu kawasan pertama di AS.
Gerhana matahari penuh berlaku di kawasan tertentu seluruh dunia setiap 11 hingga 18 bulan, tetapi jarang dapat dilihat oleh berjuta-juta orang membabitkan kawasan yang luas. Kali terakhir AS mengalami keadaan ini pada 2017 dan hanya akan berulang pada 2045.
Fenomena menakjubkan yang disaksikan oleh puluhan juta orang di AS semalam dilihat dari sudut saintifik dan juga komersial – alasan untuk penduduk berpesta.
Bayang-bayang bulan membuatkan Pantai Pasifik Mexico berada dalam kegelapan sepenuhnya pada 11.07 pagi waktu tempatan dan meliputi seluruh AS dengan kelajuan supersonik sebelum kembali ke lautan di Pantai Atlantik Kanada hanya kurang satu jam setengah selepas bermula.
Pesta, malah perkahwinan besar-besaran diadakan di sepanjang laluan gerhana, apabila bulan dapat dilihat sepenuhnya mengaburkan matahari sehingga beberapa minit. Namun keadaan berawan menyebabkan gerhana matahari tidak dapat dilihat sepenuhnya di beberapa kawasan Texas.
Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador melawat Sinaloa untuk menyaksikan secara langsung gerhana dari pusat peranginan Mazatlan, menyifatkan acara itu sebagai “hari yang sangat indah, tidak dapat dilupakan.”
Beribu-ribu orang berkumpul di Mexico City yang berada di luar laluan keseluruhan gerhana. “Ini adalah peluang yang diberikan oleh bumi dan alam semula jadi yang mesti kita rebut,” kata Mariana Juarez kepada AFP.
Laluan keseluruhan tahun ini adalah sepanjang 185 kilometer dan menempatkan hampir 32 juta penduduk Amerika, manakala 150 juta otrang di kawasan berdekatan.
Gerhana matahari penuh seterusnya yang boleh dilihat di sebahagian besar Amerika Utara tidak akan berlaku sehingga 2044. – AP