Aliran trafik lebuh raya arah selatan lancar

Keadaan trafik Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan yang diambil dalam pemantauan udara, hari ini.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hasil pemantauan udara Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mendapati keadaan lalu lintas di pintu keluar dari pusat bandar raya ke Lebuh Raya Utara-Selatan dan sekitar pusat bandar raya, hari ini dalam keadaan lancar.

Pemantauan pada hari kedua Op Selamat 22 sempena Aidifitri juga mendapati tiada pertambahan kenderaan.

- Advertisement -

Bermula jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari, pemantauan udara JSPT Bukit Aman, meninjau aliran trafik dari pusat bandar raya ke sektor selatan, diketuai oleh Ketua Urusetia JSPT Bukit Aman, Asisten Komisioner Azman Shari’at.

Turut serta Superintendan Mohd Yatim Osman; Asisten Superintendan Lim Beng Thye serta wakil Unit Perhubungan Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Wan Safrie Oyong dan Lans Koperal Muhammad Hafiz Azzuddin Mohd Zaidi serta dua orang wakil media sebuah stesen televisyen.

Mengikut catatan dalam media sosial JSPT: “Hasil pemantauan akan disalurkan kepada petugas Pusat Kawalan Trafik Persekutuan (FTCC) JSPT Bukit Aman dan petugas lebuh raya agar tindakan segera diambil jika berlaku kesesakan atau insiden luar biasa.”

Pemantauan udara dilakukan dengan kerjasama Pasukan Gerakan Udara (PGU) menggunakan helikopter AW-139 yang dikendalikan oleh Superintendan Shaifuddin Mohd Noor dan pembantu juruterbang, Deputi Superintendan Md Nurkhil Md Zaini, serta pemerhati, Lans Koperal Zakwan dan Lan Koperal Azlinda Norsam.

Selain itu, pemantauan udara mendapati secara keseluruhan aliran trafik di beberapa lebuh raya utama lancar. – HARAKAHDAILY 9/4/2024

- Advertisement -