Operasi KAHB ditamatkan, tanggung liabiliti terlalu besar

Dato' Seri Muhammad Sanusi pada Program Cahaya Ramadan di Pekan Rabu, semalam.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Operasi Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) ditamatkan serta merta berikutan tiada berdaya maju serta menanggung liabiliti terlalu besar.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun kata Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, anak syarikat milik Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah itu hanya ditamatkan operasi tetapi tidak ditutup terus kerana masih mempunyai aset yang perlu dicairkan bagi membayar hutang.

“Syarikat masih ada aset, liabiliti, hutang dengan orang lagi, jadi tak boleh tutup terus. Kena tamat operasi dulu dan perlu ada pihak bayar semua hutang dahulu,” katanya ketika ditemui media pada Program Cahaya Ramadan anjuran Yayasan TM di Kompleks Pekan Rabu di sini, semalam.

Ujar Sanusi lagi, tindakan menamatkan operasi KAHB sewajarnya dilakukan sejak dahulu tetapi walaupun agak terlewat, ia tetap diteruskan malah pihaknya sudahpun memaklum sebelum ini mana-mana anak syarikat kerajaan negeri (GLC) yang tidak berdaya saing perlu ditamatkan operasinya.

Kerajaan negeri juga tegasnya tidak akan menyelamatkan KAHB sama ada suntikan modal atau penstrukturan semula syarikat kerana ia bertentangan dengan dasar yang ditetapkan.

“Kita tak akan ‘bail out’ Kedah Agro, itu kerja kerajaan dulu, dasar saya mana-mana anak syarikat kerajaan negeri yang tak berdaya maju akan ditutup.

“Ada orang kata kasihanlah kepada pekerjanya, tetapi saya perlu jaga dua juta rakyat Kedah,” tegasnya.

Sebelum ini Sanusi telah memaklumkan bukan menjadi tanggungjawab kerajaan negeri membayar gaji pekerja syarikat berkenaan sebalik KAHB sendiri perlu berusaha membayar gaji pekerjanya.

Terdahulu, pelbagai pihak mendesak kerajaan negeri campur tangan menyelesaikan tunggakan gaji seramai 24 kakitangan KAHB yang tidak dibayar gaji antara tujuh hingga sembilan bulan lalu, selepas syarikat terbabit berhadapan masalah kewangan.

Bagaimanapun, Sanusi menegaskan pihaknya tidak akan menggunakan dana kerajaan negeri untuk membiayai syarikat berkenaan sebaliknya syarikat tersebut boleh membuat permohonan pinjaman dengan jaminan mampu dibayar semula. – HARAKAHDAILY 7/4/2024

- Advertisement -