ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, adalah tidak wajar beliau dikait serta disalahkan berkaitan isu pajakan tanah yang melibatkan Kumpulan Aras Niaga Berhad dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) Kedah.
Katanya, SSI ditadbir secara langsung oleh mana-mana Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang dilantik bagi memegang aset tanah milik kerajaan negeri.
“SSI di bawah SUK dan saya tidak terlibat dalam Ahli Lembaga Pengarah (ALP) SSI, mereka ada ALP sendiri. SSI juga adalah badan yang memegang aset terutama tanah bagi pihak kerajaan negeri. Dulu pegang tanah kubur, tanah buat taman perumahan rakyat. Bila selesai bayar (urusan jual beli), SSI akan serah geran,” jelasnya ketika ditemui media pada Program Cahaya Ramadan anjuran Yayasan TM di Kompleks Pekan Rabu di sini, semalam.
Pada 25 Mac lalu, Kumpulan Aras Niaga Berhad memfailkan saman RM310 juta terhadap Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) Kedah yang didakwa melanggar perjanjian pajakan tanah yang ditandatangani pada 2020 dan menamakan tiga pihak sebagai defendan dalam writ tuntutan berkenaan iaitu SSI Kedah, Pengurus Besar SSI Kedah dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah.
Saman itu difaikan sebaik sahaja SSI mengarahkan syarikat terbabit menyerah kembali tanah seluas 255 hektar di Mukim Semeling, Kuala Muda yang dipajaknya secara sah daripada SSI.
Justeru jelas Sanusi, syarikat berkenaan difahamkan tidak mematuhi syarat yang ditetapkan di mana tanah pajakan SSI berstatus pertanian dan hanya aktiviti pertanian sahaja dibenarkan.
“Itu tanah SSI dan dipajak untuk aktiviti pertanian. Tapi kalau buat aktiviti lain yang tak dibenarkan, tuan tanah nak tarik balik itu hak dia sebab tanah dia. Banyak cerita sebenarnya tapi sebab perkara ini dah dibawa ke mahkamah, maka selesai di mahkamahlah,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/4/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!