Pastikan pelancong kunjungi semula lokasi tumpuan

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (empat dari kiri) ketika majlis Pelancaran Promosi Makanan Perlis di Hotel Marriott Pulau Pinang.
- Advertisement -

GEORGE TOWN: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan setiap lokasi dan tumpuan utama pelancong mempunyai perancangan jangka pendek dan panjang bagi memastikan tempat berkenaan terus dikunjungi semula.

- Advertisement -

Titah baginda, semua jenis pengoperasian perlu ditambah baik dari masa ke semasa bagi memastikan pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan.

Selain itu titahnya, peruntukan kewangan juga memainkan peranan penting khususnya dalam aspek penyelenggaraan perniagaan agar perkhidmatan atau kemudahan yang disediakan sentiasa berada pada tahap yang optimum.

“Pemain industri juga perlu menjalankan penyelidikan dan pembangunan berkaitan bidang masing-masing.

“Kita boleh mencontohi negara yang menjadi pilihan utama serta paling ramai dikunjungi beroperasi, seterusnya menjadikan mereka sebagai rujukan,” titah baginda lagi.

Sungguhpun begitu titah baginda, pendekatan penambahbaikan juga boleh diambil melalui kekuatan sedia ada khususnya dalam operasi perniagaan.

Tuanku Raja Muda terdahulu  berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 di Hotel Marriot Penang, Persiaran Gurney, di sini, hari ini.

Sementara itu, baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyerahkan streamer ‘Perlis – The Undeniable Charm’ kepada Pengurus Besar, Penang Marriott Hotel, Subash Basrur dan Chef Eksekutif, Lee Keen Suaan yang menyediakan masakan istimewa, Kurma Daging Perlis.

Masakan istimewa itu menjadi salah satu menu utama kepada para pelanggan hotel tersebut secara buffet sepanjang Ramadan tahun ini.

Turut hadir, Naib Presiden Kanan (Pembangunan Perniagaan Bagi Asia Pasifik) Marriott International, Kevin Chen dan Pengarah Westfield Global Sdn Bhd (WGSB), Datuk Yeoh Yin Sean. –  HARAKAHDAILY 2/4/2024

- Advertisement -