1,800 pek juadah berbuka untuk masyarakat

- Advertisement -

LAHAD DATU: Sebanyak hampir 1,800 pek pelbagai juadah berbuka puasa diedar kepada masyarakat sekitar Lahad Datu.

- Advertisement -

Menurut pengarah program, Landari Labobo, edaran itu melibatkan kerjasama di antara PAS Cawangan Aman Jaya bersama Jemaah Ibu Bapa dan Guru (JIBG) PASTI serta SRITI Lahad Datu.

“Edaran juadah berbuka ini merupakan salah satu aktiviti dalam program Sinar Kasih Ramadan (SKR).

“Dengan menyediakan dan mengedar juadah berbuka ini, memberi peluang kepada JIBG untuk menyumbang dan mendapat pahala menyediakan makanan kepada orang yang berpuasa,” ujarnya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Lahad Datu di sini selepas edaran, semalam.

Selain itu, katanya mereka dapat menanam semangat untuk berkongsi rezeki di bulan Ramadan dalam kalangan anak-anak dan JIBG PASTI serta SRITI dengan sama-sama menyediakan juadah berbuka dan seterusnya mengedar kepada masyarakat.

Menurutnya, edaran telah dilakukan di beberapa tempat sekitar Lahad Datu antaranya di Bandar Sri Perdana, Taman Aman Jaya, Taman Wawasan, Fajar, Tungku dan Kampung Desa Kencana, Felda Sahabat.

Tambahnya, antara juadah berbuka yang diedar seperti pulut kuning serta rendang, bubur ayam, bubur kacang dan kuih butir nangka.

“Antara aktiviti lain yang dilaksanakan dalam program SKR ini ialah menyantuni asnaf dengan cara mengedar bakul Ramadan.

“Sehingga kini, sumbangan masih diperlukan dan edaran akan dilaksanakan pada akhir Ramadan,” katanya lagi.

Landari berharap, seluruh masyarakat dapat memanfaatkan baki Ramadan yang ada dengan cara memperbanyakkan amal ibadat, kerana belum tentu masih diberi peluang bertemu Ramadan pada tahun akan datang.

Bagi masyarakat yang ingin memberi sumbangan, boleh menyalurkan ke akaun Bank Rakyat Parti Islam Se-Malaysia Kawasan Silam, 110892014454 dengan rujukan SKRLD2024 atau hubungi Marlyannah 014-9540368. – HARAKAHDAILY 1/4/2024

- Advertisement -