Kemarau: RM200,000 sedia telaga tiub di kawasan pertanian

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melulus peruntukan khas sebanyak RM200,000 bagi menyediakan telaga tiub dan pam air bagi mengatasi masalah kekurangan air di kawasan pertanian.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, sawah padi di kebanyakan tempat di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dilaporkan kering kontang.

Katanya bendang juga merekah agak teruk akibat kemarau yang panjang.

“Kerajaan negeri bekerjasama dengan KADA bagi membantu petani di seluruh jajahan di Kelantan termasuk di kawasan KADA.

“Tumpuan diberi terutamanya di beberapa kawasan yang terjejas agak teruk. Sumber air sedia ada akan digunakan semaksimum mungkin bagi memastikan tanaman padi dapat diselamatkan,” katanya di sini semalam.

Sebelum itu beliau menerima kunjungan hormat Pengerusi KADA Muhammad Hussin di Pejabat Exco MABNA MBI Kompleks Kota Darulnaim. (Foto atas)

Tuan Mohd Saripudin juga berkata, antara pendekatan yang telah dan akan dijalankan iaitu bantuan pam-pam mudah alih daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri.

Selain itu katanya bantuan teknikal dan peralatan bagi pembinaan telaga tiub oleh jabatan berkaitan.

“Cadangan pertimbangan bantuan pembenihan awan serta lain-lain bantuan segera dan bersifat jangka masa pendek turut dipertimbangkan,” ujarnya.

Oleh itu katanya kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang bantuan dan cadangan daripada semua pihak dalam usaha untuk mengatasi kekurangan air di kawasan pertanian. – HARAKAHDAILY 26/3/2024

- Advertisement -