Menjawab isu KAHB: Nilai dengan fakta bukan auta

Ustaz Salim Mahmood Al-Hafiz
- Advertisement -

ALOR SETAR: Dato’ Shaiful Hazizy dinasihatkan agar jangan menilai isu Kedah Agro Holdings Bhd (KAHB) secara auta sebaliknya meneliti fakta sebenar.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS negeri, Ustaz Salim Mahmood Al-Hafiz berkata, Ketua Penerangan Umno Kedah itu kemungkinan tidak meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2017 bagi Pengurusan Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Kedah Siri Kedua.

“Dia dakwa KAHB rugi ketika di era Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak menjadi Menteri Besar Kedah. Nampak sangat dia tak teliti Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan pada 2017 sedangkan Pakatan Rakyat (PR) dan Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak mentadbir Kedah selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), 2008 hingga 2013.

“KAHB pula ditubuhkan pada 24 Ogos 2008 di bawah punca kuasa Akta Syarikat 1967 dan menjadi Syarikat Berhad Menurut Syer milikan penuh Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) di mana ketika itu pentadbiran PR baharu di tahun pertama,” tegas beliau dalam satu kenyataan di sini.

Jelas beliau lagi, kerugian sebelum cukai untuk dua tahun berturut-turut pada 2015 dan 2016 berjumlah RM0.56 juta dan RM0.67 juta malah Laporan Ketua Audit Negara (2017) juga memberikan teguran keras terhadap kelemahan pengurusan serta pentadbiran perjalanan kewangan dan urus tadbir KAHB.

“Saya nak tanya beliau (Shaiful) mengapa KAHB mengalami kerugian pada masa itu? Kerana pembaziran perbelanjaan yang bermewah pada tahun 2016 dengan ganjaran, elaun bulanan Lembaga Pengarah dan saguhati Hari Raya Lembaga Pengarah berjumlah RM240,000.

“Malah projek ternakan ikan sangkar di Sungai Menghulu, Langkawi yang melibatkan 187 sangkar (2016) juga tidak memberikan pulangan hasil kepada syarikat,” tambah beliau. 

Katanya lagi, projek menternak ikan di dalam sangkar juga kecundang apabila lawatan audit pada 18 Julai 2018 mendapati tiada ikan di dalam sangkar, sebaliknya berdasarkan Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah Kedah Agro Holdings Bil 4/2017, kali terakhir 5,000 ekor anak ikan kerapu hibrid dibawa masuk pada 27 Oktober 2017.

“Inikah projek menternak ikan tetapi ikan tiada dalam sangkar?” soal beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada.

Mengulas lanjut beliau berkata, projek Beras Agro melalui perjanjian Contract Manufacturing dan Supply Agreement pada 2 Mac 2016 yang tidak melalui proses pemantauan projek yang teliti selain perjanjian tidak lengkap dengan syarikat pembekal.

Tambah beliau, termasuk juga projek usaha sama rangkaian peruncitan D’Aman Mart yang mula beroperasi pada 29 Ogos 2017 tidak memberi sebarang hasil kepada KAHB sebaliknya dilakukan dalam keadaan sambil lewa sahaja.

“Ini saya nak beritahu lagi, projek ternakan Lembu Fidlot di Sungai Laka, Bukit Kayu Hitam dengan sewaan ladang RM9,820 secara bulanan bermula 1 September 2017 tidak memberikan hasil kepada KAHB, malah lawatan Audit pada 19 Julai 2018 mendapati ‘kandang lembu masih kosong kerana jalan masuk ke kandang tidak boleh dilalui kenderaan berat’. Bela lembu tapi lembu juga tiada!

“Kesemua ini adalah hasil daripada Laporan Ketua Audit Negara 2017 dan daripada titik itulah KAHB berada dalam situasi terperangkap sehingga ke hari ini. Persoalannya, siapakah yang mentadbir kerajaan negeri ketika tu kalau bukan parti sealiran dengan beliau sendiri,” bidas Salim lagi.

Kedah di bawah Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan PERIKATAN NASIONAL (PN) mengambil pendekatan tidak ‘scrape-off’ projek pentadbiran kerajaan sebelumnya atas pelbagai faktor ke hadapan.

Namun ujarnya, amat malang, pemimpin Umno/Barisan Nasional (BN) dilihat lebih berminat mencari jalan membuka pekung sendiri dan akhirnya terdedah punca kepincangan dalam pengurusan KAHB itu sendiri sejak tahun 2016.

“Saya nasihatkan kepada Shaiful, berehatlah dan berikan fokus kepada ibadah dalam bulan yang mulia yang masih berbaki ini. Itu lebih baik daripada bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 25/3/2024

- Advertisement -