Kebebasan bersuara: Kerajaan seolah-olah mundur ke belakang

Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semua wakil parti yang menjadi ahli Dewan Rakyat pernah menyebut mengenai kepentingan untuk mempertahankan kebebasan bersuara dan media, kata Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor).

- Advertisement -

“Tetapi bagaimanapun kalau kita lihat, apa yang berlaku pada hari ini adalah sebaliknya walaupun ada peruntukan tambahan yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Kita lihat adalah menteri, kementerian dan pihak kerajaan yang seolah-olah mundur banyak tahun ke belakang.

“Apa yang berlaku pada hari ini saya rasa ada satu perkara yang kita patut ambil berat dan ambil perhatian, kerana kalau dilihat, dan kalau kita bertemu dengan rakan-rakan wartawan, rakan-rakan editor, ramai yang bercakap mengenai bagaimana mereka mendapat panggilan, ada kandungan dan tajuk utama yang kena diubah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2023) 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, perkara itu bukan disebabkan media tersebut menjadi berat sebelah, tetapi hakikatnya pembeli terbesar dalam negara adalah agensi kerajaan dan kementerian.

“Ini menimbulkan sedikit rasa serba salah di kalangan pengamal media yang mana saya rasa kita perlu ambil berat.

“Kita kena pastikan bahawa usaha untuk memastikan media kita bebas walaupun dalam keadaan kerajaan menjadi pembeli terbesar dalam negara kebebasan media mestilah dipertahankan,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2024

- Advertisement -