Peminat boleh dapat jersi rasmi KDN FC selepas Aidilfitri

Mohd Shukry (dua dari kanan) menunjukkan kit latihan KDN FC dalam tiga warna yang akan mula dijual kepada orang ramai bermula esok dan secara dalam talian.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Jersi rasmi kelab bola sepak Kelantan Darul Naim (KDN FC) bakal bertemu peminat selepas Aidilfitri bagi mengharungi saingan Liga Super musim 2024/2025.

- Advertisement -

Jersi rasmi di bawah tajaan syarikat anak tempatan, PUC Sport itu bakal mengeluarkan sebanyak 50,000 jersi eksklusif dengan mengekalkan warna merah, putih.

Pengarah Urusan PUC Sport, Mohd Shukry Pauzi berkata, jersi eksklusif  itu kini 70 peratus siap dengan warna mengambil semangat bendera Kelantan selain berlogokan kijang berwarna emas.

“Sebanyak 15,000 jersi rasmi (utama, kedua dan ketiga) akan dikeluarkan pada musim ini bagi kegunaan pemain, manakala 35,000 lagi meliputi pelbagai tujuan termasuk latihan, pelancaran dan jualan.

“Harga jersi rasmi skuad kijang emas ini ditawarkan kepada penyokong dan peminat bola sepak Kelantan dengan harga mampu milik di bawah RM100,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat PUC Sport, Kubang Kerian hari ini.

Shukry memberitahu, tawaran harga rendah itu bertujuan menarik sokongan peminat bagi membangkitkan semangat KDN FC dalam aksi Liga Malaysia musim ini.

Selain itu tambahnya, sebanyak 5,000 unit kit edisi khas pelancaran turut dikeluarkan termasuk 1,500 yang akan diedarkan secara percuma kepada peserta perarakan pelancaran jersi rasmi terbabit.

Katanya, bagi kit latihan KDN FC pula, ia akan mula dijual kepada orang ramai bermula esok di kedai PUC dan secara dalam talian.

“Terdapat tiga warna iaitu firus, biru dan merah dengan harga RM49 sehelai atau tiga helai RM100,” katanya.

Syukri memberitahu, jenama keluaran tempatan kini menjadi pilihan apabila kualitinya menyamai jersi Liga Perdana Inggeris.

Jenama-jenama jersi dan kelengkapan sukan keluaran tempatan kini setanding jenama terkemuka dan berkelebihan dari segi harga yang mampu dimiliki sehingga ada yang cuba menciplak.

Pada masa yang sama beliau memberitahu, KDN FC akan memulakan saingan Liga Super 2024/2025 awal Mei depan dan menjadi satu-satunya pasukan yang akan mewakili Kelantan musim ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru peminat bola sepak terus memberi sokongan kepada KDN FC hingga berjaya ke saingan seterusnya pada masa depan. – HARAKAHDAILY 17/3/2024

- Advertisement -