Dua ditahan halang penjawat awam

- Advertisement -

ALOR SETAR: Dua individu yang terlibat dengan pergaduhan serta disyaki menghalang penjawat awam menjalankan tugas di Dataran Medan Bandar, di sini, ditangkap polis, semalam.

- Advertisement -

Pada kejadian kira-kira jam 11.38 malam, dua hari lalu, dua individu terbabit dilihat menjerit-jerit terhadap penguat kuasa dan mencabar mereka untuk membuka uniform selain mengeluarkan perkataan kesat.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, kejadian itu berlaku apabila seorang pembantu penguatkuasa Majlis Bandar Raya Alor Setar (MBAS) membuat operasi sitaan peniaga di kawasan berkenaan.

“Kejadian yang tular di media sosial itu memperlihatkan dua individu terlibat dilihat menjerit-jerit terhadap penguat kuasa dan mencabar mereka untuk membuka uniform selain mengeluarkan perkataan kesat. Kegagalan mengawal emosi menyebabkan dua individu mengajak anggota penguat kuasa yang melakukan operasi sitaan itu bergaduh,” kata beliau memetik laporan sebuah media tempatan, di sini.

Jelasnya lagi, mereka yang terlibat juga seolah-olah tidak mempedulikan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang berkumandang dari Masjid Zahir yang terletak berhadapan dataran berkenaan.

Tambahnya, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awat menjalankan tugas.

Sementara dalam perkembangan yang sama, MBAS memaklumkan, kawasan Dataran Medan Bandar itu sememangnya menjadi kawasan larangan untuk sebarang aktiviti perniagaan.

Malah sudah terdapat papan tanda besar mengenai larangan berniaga di kawasan berkenaan yang telah dikeluarkan notis sejak 2022 dan masih terpakai sehingga hari ini. – HARAKAHDAILY 17/3/2024

- Advertisement -