Marrybrown bakal buka 40 cawangan baharu di Kelantan

Pemilik cawangan Marrybrown Kota Bharu, Nur Aziemah Mohammad Azeem (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Pengurus Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa Darul Huffaz.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pengendali rangkaian restoran makanan segera halal Malaysia, Marrybrown Sdn Bhd bakal membuka kira-kira 40 buah cawangan baharu di Kelantan menjelang tempoh tiga tahun akan datang.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Daniel Chan, berkata langkah itu dilakukan berikutan sambutan memberangsangkan daripada penduduk negeri ini yang sentiasa memberi sokongan kepada Marrybrown.

Katanya, perkembangan itu sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan di tempat-tempat baharu.

Beliau seterusnya memberitahu, setakat ini terdapat 10 cawangan Marrybrown di Kelantan membabitkan kira-kira 200 pekerja.

“Memandangkan perkembangan positif di mana sambutan orang ramai terhadap produk kami terutama golongan muda semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Berdasarkan faktor tersebut, kita merancang untuk menambah 30 hingga 40 cawangan baharu lagi di kawasan bandar dan luar bandar negeri ini kerana permintaan yang tinggi,” katanya kepada media.

Jelasnya, perkembangan itu juga turut membantu peningkatan ekonomi negeri.

Terdahulu beliau melancarkan dua menu baharu Marrybrown ‘Menu Riang Ramadan Raya’ di cawangannya dekat Jalan Long Yunus, di sini hari ini.

Menu baharu berkenaan, Nasi Ayam Penyet Marrybrown dan Kombo Burger Ayam Penyet disediakan secara eksklusif sepanjang bulan Ramadan dan Syawal bermula hari ini sehingga 28 April.

Chan menambah, berikutan perkembangan yang memberangsangkan itu, cawangan Marrybrown juga akan ditambah di Terengganu dan Pahang dalam masa terdekat.

“Kami mengucapkan terima kasih di atas sokongan orang ramai kepada Marrybrown dan inilah masa yang sesuai untuk kami memberi sesuatu yang lebih baik kepada pelanggan.

“Setakat ini, Marrybrown memiliki kira-kira 500 cawangan di mana 250 cawangan di Malaysia dan selebihnya di luar negara termasuk Myanmar, Asia Barat dan Maldives,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2024

- Advertisement -