Tradisi ‘bubur lambuk KOMPAS’ diteruskan

- Advertisement -

KANGAR: Kompleks PAS Negeri Perlis (KOMPAS) meneruskan tradisi menyediakan bubur lambuk setiap kali tibanya Ramadan sebagai usaha memperkukuhkan ikatan parti itu dengan masyarakat.

- Advertisement -

Pengarah Program Edaran Bubur Lambuk KOMPAS, Solahuddin Azmi berkata, sebanyak 700 bungkus bubur lambuk dihasilkan setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini.

“Program yang telah menjadi tradisi sejak 20 tahun ini dimasak mengikut resepi turun temurun daripada guru saya, Allahyarham Abdul Karim Mat Rejab.

“Cuma diubahsuai mengikut resepi bubur lambuk Kampung Baru dengan penambahbaikan bagi memenuhi citarasa penduduk di Perlis,” ujarnya.

Menurut Solahuddin, sambutan terhadap juadah itu amat menggalakkan dengan orang ramai mula beratur seawal jam 2.00 petang sebaik sahaja juadah itu mula diagihkan.

“Alhamdulillah, orang ramai kebanyakan sudah tahu tentang kesedapan bubur ini. Pukul 2.00 petang mereka dah datang ke KOMPAS untuk dapatkannya.

“Selain itu, kami juga menerima tempahan dari jabatan kerajaan dan sukarelawan dan mereka sendiri turut serta gotong-royong menyediakannya,” tambahnya lagi.

Kata beliau, program itu hasil cetusan idea Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin bagi mendekatkan masyarakat dengan PAS, kemudian dinaik taraf oleh Allahyarham Tuan Guru Dato’ Haron Din sehingga kini.

“Sepanjang lima tahun kita cuba olah pelbagai resepi sehingga bertemu dengan resepi tetap yang digunakan sehingga ini,” kata beliau lagi.

Solahuddin (tengah) bersama rakan-rakan menyediakan bahan bubur lambuk.

Solahuddin antara tukang masak bubur lambuk berpengalaman sejak beliau mempelajari daripada gurunya sejak hampir 20 tahun lalu.

Gotong-royong menyediakan bubur lambuk bermula seawal jam 8.00 pagi setiap hari oleh kakitangan KOMPAS dan beberapa pimpinan PAS yang lain.

Bubur lambuk siap dimasak kira-kira jam 12.00 tengah hari dan diedarkan pada jam 2.00 petang. – HARAKAHDAILY 14/3/2024

- Advertisement -