Kelantan tubuh Jawatankuasa Pertahan Kanun Jenayah Syariah

Mohd Asri Mat Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri mewujudkan Jawatankuasa Khas Pertahan Enakmen Kanun Jenayah Syariah bagi mengkaji semula 16 seksyen dalam Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, jawatankuasa khas itu dipengerusikan Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Manakala Exco Pembangunan Islam dilantik timbalan pengerusi dan Penasihat Undang-Undang Negeri sebagai setiausaha jawatankuasa terbabit.

“Kita akan membentuk sebuah jawatankuasa kecil dan insya-Allah dalam tempoh terdekat akan diadakan perjumpaan ahi-ahli yang dilantik.

“Jawatankuasa terbabit mencari kaedah untuk membolehkan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2019 dikembalikan semula,” katanya di sini.

Minggu lepas, Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan usul persendirian bagi memartabatkan semula Enakmen Kanun Jenayah Syariah selepas 16 seksyen dibatalkan Mahkamah Persekutuan.

Pada 9 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan sebanyak 16 seksyen di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Berikutan itu pakar perlembagaan Dr Muhammad Fathi Yusoff mencadangkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia bertindak segera memartabatkan undang-undang Islam di Malaysia termasuk menangani implikasi negatif daripada keputusan Mahkamah Persekutuan kes Nik Elin.

Mantan Ketua Hakim Syarie Perak, Dato’ Muhamad Asri Abdullah pula menyifatkan Mahkamah Syariah dipandang rendah oleh orang Islam sendiri.

Mohd Asri berkata, kajian yang dibuat Jawatankuasa Khas Pertahan Enakmen Kanun Jenayah Syariah akan dibawa semula ke DUN Kelantan untuk mendapat kelulusan.

“Bagi mendapat punca kuasa sudah tentu kena pergi kepada DUN untuk digubal semula sebelum dikuatkuasakan selepas mendapat perkenan Tuanku Sultan,” ujarnya. 

Menurutnya juga jawatankuasa terbabit akan dianggotai mereka yang pakar dalam pelbagai bidang termasuk perundangan, kehakiman, ulama, Majlis Agama Islam dan agamawan.

Kata beliau, panel yang dilantik akan memberi pandangan terhadap seksyen yang dibatalkan mahkamah untuk diluluskan dengan pindaan.

“Untuk membuat undang-undang takzir ia perlu kepada mereka ada kepakaran dalam bidang agama, sudut hukum, fikah dan mengetahui dengan meluas bidang jenayah.

“Sebab jenayah ini luas ada kaitan dengan hudud, kias, takzir, diat dan ia merupakan cabang yang luas,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/3/2024

- Advertisement -