Kenyataan ‘separuh masak’ bukti menteri asyik main politik

Senator Musoddak Ahmad
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dianggap ‘separuh masak’ kerana meletakkan orang lain sebagai punca kegagalannya mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah.

- Advertisement -

Setiausaha PAS Kedah, Senator Ustaz Musoddak Ahmad berkata, tidak wujud isu membocorkan rahsia mesyuarat sepertimana tuduhan Saifuddin terhadap Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ini, ujarnya kerana Saifuddin tidak mengadakan mesyuarat lebih daripada setahun lalu.

“Apa rasionalnya beliau (Saifuddin) menuduh kononnya mesyuarat majlis itu tidak diadakan kerana Sanusi suka bocorkan rahsia mesyuarat di pentas politik, sedangkan sejak November 2022 mesyuarat itu tidak diadakan.

“Adakah sebelum ini ketika Majlis Tindakan Pembangunan Negeri dipegang oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berlaku kebocoran maklumat? Sedangkan ketika itu mesyuarat diadakan sebanyak empat kali,” kata beliau pada satu kenyataan di sini.

Musoddak yang juga Ahli Dewan Negara menegaskan, PAS ketika ini memberi fokus kepada pelaksanaan mesyuarat agung tahunan di seluruh cawangan bukannya ceramah politik.

Jelasnya, musim ceramah politik sudah selesai selepas tamat Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) lalu. 

Tambahnya, fasa sekarang lebih memfokuskan kepada gerak kerja parti.

PAS, ujarnya sebagai parti teras kepada kerajaan negeri mula melaksanakan peranan menyantuni rakyat membantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen.

“Malangnya menteri tidak dapat membezakan perkara berkenaan. Mereka hanya berpolitik setiap masa sehingga kebajikan rakyat dan kemakmuran negeri ini juga diperjudikan.

“Inilah kegagalan kerajaan era Madani, tak tahu membezakan gerak kerja politik dan berkerajaan,” tambah beliau.

Saifuddin pada 10 Mac lalu, mendakwa, sikap Sanusi yang tidak menjaga rahsia mesyuarat dan maklumat diperolehi serta menjadikannya  sebagai modal berceramah di pentas politik, antara punca mengapa mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah tidak diadakan agak lama.

Dakwaan itu sebagai respons kepada pendedahan yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah itu pada ucapan penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 7 Mac lalu, bahawa mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri gagal dilaksanakan sejak November 2022.

Sanusi juga dalam ucapan itu memaklumkan beliau mengesyorkan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim agar tempat menteri itu digantikan dengan orang lain memandangkan penyandang terbabit gagal memainkan peranan sewajarnya. – HARAKAHDAILY 12/3/2024

- Advertisement -